Tun M Berdepan Orang ‘Bebal’- Presiden PAS

1048

Oleh : KAM

MARANG: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini disifatkan berhadapan dengan sebahagian pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang ‘bebal’ serta tidak mengikut syarat Islam dan lunas demokrasi.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, janji peralihan kuasa Perdana Menteri itu perlu mengikut rukun dan syarat Islam meskipun dalam negara demokrasi.

Ini kerana, katanya perjanjian bagi menukar kepimpinan negara daripada Tun Dr Mahathir kepada Dato’ Seri Anwar itu tidak menepati rukun dan syarat dalam Islam.

“Perjanjian dalam Islam ini tidak boleh buat mudah-mudah. Janji dalam Islam ada rukun dia. Bukan boleh buat begitu sahaja. Khususnya janji dalam pemerintahan negara, berkaitan dengan Islam. Ada syarat ada rukun semua perjanjian.

“Dalam Islam semua perjanjian mesti kena ikut rukun Islamlah, kalau kita orang Islam. Janji dalam Islam dia ada rukun-rukun dan syarat-syaratnya. Jika tidak cukup syarat, tidak cukup rukun janji itu tidak sah. Jangan kita tekan orang tua (Mahathir) itu,” ujarnya kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Menjawab persoalan ada pihak tertentu mendakwa, Tun Mahathir berbohong jika tidak menunaikan janji menyerahkan kuasa kepada Anwar dalam tempoh dua tahun, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, orang yang mendesak itu bersifat ‘bebal’.

“Tak ikut syarat, bohong macam mana? Orang (yang desak) itu yang ‘bebal’, ‘tak reti’ dan Tun (Mahathir) berdepan dengan orang yang bebal.

“Saya bukan nak bela Tun sangat tetapi itulah (hakikat) yang berlaku hari ini (berdepan) secara kebebalan. Desakan itu tak ikut (rukun) agama. Kalau orang Islam sendiri tak ikut cara agama (Islam) macam mana.

“Tak ikut cara Islam dan tak ikut cara demokrasi, cara barat pun tidak begitu. Ini tiada surat perjanjian dan sebagainya. Barat pun ada perkara yang Islam terima. Ini cara Islam pun tak ikut, cara (demokrasi) barat pun tak ikut,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, sepatutnya pemimpin kerajaan PH mendahului janji-janji manifesto kepada rakyat pada pilihan raya lalu.

Malang katanya, kerajaan PH itu sendiri banyak janji dari parti-parti pakatan itu yang sukar ditunaikan oleh Perdana Menteri.

“Sepatutnya, tunaikan janji manifesto. Ini yang ditulis melalui janji manifesto. Cuma malangnya, PH (Pakatan Harapan) ini, janji banyak parti. Masing-masing parti ada janji dia. DAP ada janji dia, PKR ada janji dia dan semua (parti) ada janji.

“Individu-individu (pemimpin) itu pula ada janji dia masa pilihan raya. Masing-masing buat janji, jadi kita fikirlah mana Perdana Menteri nak buat jika banyak janji. Hak dia (Tun Mahathir) tak berjanji, orang lain berjanji, takkan dia nak pikul. Macam ‘pikul biawaj hidup’ dan itu satu benda yang sangat beratlah. Macam-macam jenis janji yang dibuat sama ada yang bertulis dan tidak bertulis. Janji yang bertulis pun tidak dibuat dan yang tak bertulis banyak lagi,” ujarnya.

Selain itu, katanya terdapat di kalangan parti-parti komponen PH itu berkelahi sama sendiri macam mana mahu memerintah negara.