Tolong Cakna Aktiviti Anak Di IPT

105

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Orang ramai diseru agar ambil cakna dan waspada terhadap segala aktiviti anak-anak mereka di institusi pengajian tinggi (IPT).

Pengarah Ameerah Terengganu, Hajah Zuraida Md Noor berkata, isu aktiviti tidak bermoral berlaku di kalangan pelajar adalah perkara sangat penting yang perlu di ambil peranan oleh para ibu bapa diluar sana.

“Isu ‘sugarbook’ sangat berleluasa pada hari ini di mana yang melibat kan pelajar IPT di negara Malaysia.

“Kami risau ibu bapa meletakkan kepercayaan anak-anak tetapi di sebaliknya mereka menghancurkan (harapan) mereka.

“Dan saya sangat bimbang gejala ini berleluasa serta paling risau (sekiranya) berlaku di negeri Terengganu,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu berkata demikian selepas Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua DMPNT, Cg Raja Endun Raja Abd Rahman dan Setiausaha Hajah Rahimah Muda.

Menurutnya, walaupun isu ini agak lama yang tidak diketengahkan, jadi inilah masa yang terbaik untuk mencegah perkara ini daripada terus berleluasa.

“Inilah masa yang yang terbaik dimana satu kenyataan menyatakan statistik terlalu ramai pelajar terlibat terutama pelajar IPT yang terdiri daripada orang melayu Islam terlibat dengan isu ‘sugar daddy’ dan ‘sugar baby’ ini.

“Sebab, kita tahu masalah sosial ini sangat berleluasa dan yang paling ketara melibatkan maruah dan aktiviti maksiat, penzinaan yang akhirnya boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan untuk jangka masa panjang,” ujarnya.

Katanya, DMPNT mengambil langkah yang wajar untuk sama-sama membanteras isu ini.

“Saya harap kita ambil berat dan prihatin bukan sahaja ibu bapa tetapi jiran serta masyarakat sekeliling kena ambil tahu (juga),” tambahnya.

Justeru itu, beliau berharap agar masyarakat bersama-sama memperjuangkan agar laman web sugarbook ini dapat dihapuskan dengan kadar yang segera.