PAS ingin memperingatkan kepada Datuk Seri Najib yang juga Presiden Umno dengan slogan inilah PAS boleh memerintah sampai 20 tahun di Kelantan walaupun dengan sekatan dan diskriminasi politik kuno Umno kepada kerajaan rakyat yang sah. PAS boleh buktikan banyak perkara yang PAS lakukan melalui slogan Membangun Bersama Islam, kemudian ditiru pula oleh kerajaan pusat. Contohnya pinjaman tanpa faedah kepada kaki tangan, bantuan kifalah untuk warga emas, rumah tiga bilik, cuti dua hari dalam seminggu, kempen menutup aurat, kaunter berasingan, mengharamkan judi, menghadkan arak kepada orang bukan Islam sahaja, pajak gadai Islam, menunjukkan slogan yang PAS gunakan seiring dengan amalan.
PAS pun mengharapkan Datuk Seri Najib boleh memulakan kehidupan dan amalan yang serasi dengan kehendak Islam sesuai dengan ucapan beliau yang mengatakan tidak cukup dengan slogan sahaja. Tinggalkan sikap pragmatis yang mengikut suasana dan tidak mengikut prinsip agama. Jangan sewaktu merasmi masjid bicara hal agama dan mengajak pendengar ikut suruhan agama, dalam masa meraikan festival fesyen Islam di Monti Carlo, Islam yang diucapkan entah ke mana. Pendekatan seperti ini mengelirukan orang bukan Islam di negara ini untuk berjinak dengan Islam.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat