Tindakan Pantas Jabatan Amal Elak Tragedi Lebih Buruk

242

MARANG – Tindakan segera Jabatan Amal membantu penduduk ketika hujan lebat disertai ribut kencang yang melanda Kampung Alur Wan Syed, Pengkalan Berangan petang semalam, mengelakkan tragedi lebih buruk.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Alur Wan Syed Wan Ruzelan Wan Ibrahim berkata, sebatang pokok besar tumbang menghempap sebuah rumah penduduk berlaku kira-kira jam 2.30 petang.

“saya menghubungi Jabatan Amal segera, Alhamdulillah anggota Amal datang sekitar jam 3.00 petang melakukan kerja-kerja mengerat batang pokok dan memotong ranting kayu.

“syukur tidak melibatkan sebarang kecederaan. Penghuni rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri apabila menyedari keadaan cuaca buruk.” jelas beliau

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penduduk sekitar tempat kejadian yang sama-sama bergotong-royong melakukan kerja pembersihan.

Katanya, kejadian itu itu bukan sahaja berjaya mengurangkan risiko bahaya kepada penduduk, malah mencerminkan semangat kerjasama erat antara agensi sukarelawan dan masyarakat setempat.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Jabatan Amal, Mohd Faqihudin Ghazali berkata, pihaknya sentiasa bersedia membantu masyarakat terutama dalam situasi kecemasan dan bencana alam.

“Semangat kesukarelawanan ini adalah sebahagian daripada amanah untuk berkhidmat kepada masyarakat. Apa yang kami lakukan adalah kerana Allah dan demi keselamatan orang ramai,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada berikutan keadaan cuaca tidak menentu yang sedang melanda ketika ini.

“sekiranya sebarang kejadian berlaku, segera melaporkan kepada pihak berkuasa atau pasukan sukarelawan berdekatan,” katanya.