Tiga Dekad Jabatan Amal Menabur Bakti Pada Ummah Dan Pertiwi

127

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Kota Rom tidak dibina sehari!, pecutan kemenangan digaris penamat bermula dengan langkah pertama. Begitulah dengan entiti kepanduan dalam jamaah yang sangat popular dan merakyat iaitu Jabatan Amal.
Pejam celik dengan masa yang bergulir pantas, kini Jabatan Amal mendakap umurnya yang ke 30 tahun. Jika diganding dengan antomi manusia ,usia 30 tahun jasad pemuda kekar dan mampu berfikir secara matang.

Badan beruniform ini tak pernah lelah menabur bakti dimedan operasi masyarakat sehingga mengharumkan nama PAS, sebagai entiti yang tegak diatas fondasi siasah, dakwah dan tarbiah. Unit kepanduan ini muncul disaat senang dan susah, bencana banjir, ribut, mengawal himpunan dan majlis besar, menyantuni asnaf dan mengawal wabak. Namanya melekat ketat dengan kerja kebajikan dan kemanusiaan.

Jika anda memulakan langkah dalam jemaah bersama Dewan Pemuda, maka Unit Amal adalah segmen yang wajib disertai dan disepuh pengalaman menerima arahan dan berkeringat dengan ikhlas. Dalam organisasi ini, kita akan diajar berkerja dan mentaati arahan serta disiplin berjemaah, bukan semborono dan bikin ” kaplatao”. Ukhuwwah akan subur mewangi jika menghadiri program jambori samada peringkat Pusat ,negeri atau kawasan. Pelbagai program pembinaan ahli dan kejurulatihan dalam Amal akan menatijahkan anggota Amal semakin mahir dan masak dengan pengalaman, bersedia menabur khidmat dalam kondisi senang atau gawat.

Jabatan Amal , berawal dengan gelaran Unit Amal telah ditubuhkan secara rasmi selepas Jambori Amal yang pertama di Tok Jembal Kuala Nerus pada 14-16 Februari 1991. Saat itu Ustaz Dato’ Abu Bakar Chik adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat,manakala Cikgu Haji Husein Ismail adalah Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DPPP. Unit ini pada asalnya diletakkan dibawah Lujnah Kebajikan Dewan Pemuda, struktur ini daripada Pusat sehinggalah peringkat Pemuda kawasan. Anak -anak muda beruniform kelabu memeriahkan majlis-majlis anjuran PAS seperti menjaga lalulintas, parkir, mengutip derma dan sebagainya.

Pada masa itu, iaitu diawal dekad 1990an Unit Amal masih lagi begitu baru di medan masyarakat, belum lagi memicu pesona dan masih dibayangi oleh Lujnah Kebajikan. Pemuda PAS mempunyai gerakan kepanduan tidak rasmi mereka sendiri semenjak era dekad 1960an dan 1970an. Mengawal pimpinan di era pemuda tahan lasak Umno, berkawad dimajlis muktamar serta bermukhaiyyam .

Aku teringat almarhum Ustaz Hasan Shukri yang menceritakan bagaimana gerakan pemuda Syuhada di zamannya yang mengadakan mukhaiyam, aktiviti berkawad, juga aktiviti seni silat. Apatah lagi pemuda UMNO yang terkenal dengan pemuda tahan alasak, mengganggu aktiviti yang diadakan oleh PAS sehabis kudrat mereka.

Kewujudan gerakan kepanduan berteraskan khidmat kebajikan dan sukarela bagi gerakan Islam, bukanlah sesuatu yang baru atau hanya muncul di negara ini. Gerakan Islam antarabangsa biasanya mempunyai sayap kepanduan ini bagi memandu anak-anak muda yang bersemangat.
Gerakan fenomenal dunia seperti Ikhwanul Muslimin, jauh lebih awal mempunyai sayap kepanduan Syabab Ikhwan (Abdul Muiz: 2001). Begitu juga Jamiat Islami di belahan sub kontinen, mempunyai gerakan kepanduan yang berkhidmat untuk membantu masyarakat dan juga sayap gerakan yang penting.Pasban , yang dimiliki oleh Jamiat Islami juga sangat aktif menanggani bantuan bencana alam dan mengawal program-program mega jemaah Islam paling berprestij di benua kecil India itu.

Di Indonesia pula, Masyumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia), mempunyai gerakan kepanduan yang menghimpunkan ramai anak muda, sehinggalah wadah politik Islam ini diharamkan oleh Soekarno, akhirnya memaksa sebahagian aktivis mengangkat senjata. Pasca era reformasi Indonesia 1998 , gerakan kepanduan sayap gerakan Islam muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan paralel dengan kewujudan parpol bernuansa Islam di negara paling ramai populasi muslim itu.

Unit Amal seterusnya dijenama sebagai Jabatan Amal ,juga uniform mereka berubah daripada kelabu kepada merah merun telah mengorak langkah menjuarai bidang kebajikan, membantu program-program PAS di semua peringkat, menghimpunkan anak muda yang cenderung dalam bidang kepanduan (pengakap), menarik anak muda kepada fikrah perjuangan Islam bahkan terlibat dengan misi-misi bantuan di seluruh dunia.

Bukan sedikit ujian melanda badan sukarela PAS ini, termasuk cuba mengaitkan mereka dengan tujuan ketenteraan, radikalisme serta dihasut untuk diharamkan oleh kerajaan namun Unit Amal (Jabatan Amal) membuktikan mereka hadir di tengah masyarakat untuk berbakti dan berbudi.

Apabila negara dilanda musibah banjir, mereka ‘beruniform merah’ ini berada di barisan hadapan, jauh lebih awal daripada agensi kerajaan sendiri. Anggota Amal hadir menyediakan makanan ,membersihkan rumah serta membantu operasi pemindahan tanpa mengira latar ideologi politik.

Kelompok relawan berbaju merah ini berjaya memecahkan tembok kaca PAS dengan masyarakat, mengikis imej parti ekslusif pak lebai dan agamawan. Anggota Jabatan Amal dengan pelbagai kepakaran dan latar belakang keanggotaan, daripada buruh sehinggalah ahli akademik, usahawan, profesional muda serta ulama muda.

Kepelbagaian latar belakang ini merencahkan Unit Amal menjadi pasukan yang kuat, disegani malah dihormati oleh pihak polis dan Bomba sendiri. Aku secara peribadi menemui pegawai-pegawai kanan polis dan mereka memuji Unit Amal berkerja tanpa mengharapkan habuan duniawi, berpanas terik serta bermandi hujan.
Mereka berkerja tanpa upah, mampu diarah, berdisiplin tinggi, menjaga reputasi sebagai barisan hadapan jemaah Islam, berembun dan berpanasan untuk program PAS dan masyarakat.

Negara ini tidak mampu berbohong tentang asas dan kepakaran Unit Amal, mereka mengawal peserta-peserta bantahan awam daripada bertindak liar, menjaga keselamatan peserta dan juga mendisiplinkan para demonstran. Lihatlah kelibat Amal di demonstrasi BERSIH, bantah ICERD, bantah ISA,PPMSI dan ratusan demonstrasi yang lain.

Jabatan Amal membantu pihak keselamatan, bomba dan penyelamat jika berlaku kes kemalangan, hilang di hutan atau sungai, bencana kebakaran besar, malah turut menjadi aktiviti ko-kurikulum di sekolah-sekolah Islam. Unit ini dikenali sebagai kadet amal serta dilatih daripada awal untuk menjadi aktivis yang berorientasikan khidmat masyarakat.

Mereka tidak menagih upah dan tanda jasa di atas khidmat bakti mereka, motto gerakan kepanduan PAS ini, “Di mana ada kesusahan, di situlah adanya kami”. Mereka akan berdiri tegap dalam majlis-majlis rasmi PAS, siap untuk diperiksa perbarisan oleh pimpinan utama PAS. Membantu ummah didalam dan juga luar negara ,sehinggalah ke benua Afrika.

Selama tempoh 30 tahun ini, Amal telah melalui pelbagai pahit getir, asam manis perjuangan dan tak lekang ditohmah para pembencinya. Aku merasa beruntung menjadi sebahagian daripada anggota Amal, mengenali teman-teman aktivis Amal yang tekun dan istiqomah seperti Cikgu Husein Ismail, Cikgu Mohd Deraman, Pak Jamu, Kapten Jamsari, Cikgu Li Terengganu, arwah Zainuddin Kubur Maras, arwah Abdul Aziz Marang (meninggal 17 Januari 2016) dan ribuan yang lain. Semoga untuk masa mendatang ini, Amal terus diperkasa dan dibantu sesuai dengan PAS yelah menjadi sebahagian rakan pemuafakatan kerajaan Pusat dan memerintah tiga buah kerajaan negeri. Selamat menuai bakti untuk dekad-dekad seterusnya, hanya Allah maha membalas jasa kalian .

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Bekas Pengarah Jambori Amal Pusat 2002)