“Tidak Pilih Bulu”; Bekas Ketua Cawangan Umno Sertai PAS

65
Mohd Shaher Abdul Majid (Kupiah hitam) menyerahkan borang keahlian PAS kepada Pesuruhjaya PAS Terengganu bersama Zulkifli Mamat (Baju merah)

BESUT – Pendekatan kepimpinan yang adil, terbuka dan tidak meminggirkan mana-mana pihak menjadi faktor utama seseorang pemimpin tempatan mengambil keputusan menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada program Liqa’ Mahabbah DUN Jerteh di Balai Raya Darang Buaya, baru-baru ini.

Bekas Ketua Umno Cawangan Darang Buaya, Mohd Shaher Abdul Majid berkata, PAS lebih sesuai untuk beliau kerana perjalanan politik PAS sesuai dengan kehidupan beragama.

“Setelah saya memerhatikan pengurusan PAS,saya dapati tidak melibatkan unsur-unsur yang tidak baik, demi menjaga agama dan bangsa saya memilih untuk bersama PAS, saya mahukan generasi akan datang generasi yang memahami makna kehidupan dan agama,

“bimbang akan perkara ini saya mahu memperjuangkan kehidupan berugama islam. Juga saya dapati PAS bersifat lebih terbuka dalam hal bantuan, tidak seperti parti politik yang lebih mengecam parti lain dari untuk berkerja sama.” jelasnya ketika ditemui hari ini.

Rakannya, bekas Timbalan Ketua Cawangan UMNO Darang Buaya, Zulkifli Mamat, berkata keputusan itu dibuat selepas menilai bahawa corak kepimpinan PAS di peringkat kampung lebih dekat dengan rakyat serta menekankan penyelesaian isu sebenar masyarakat.

“Kami kagum dengan gaya Abey Nor (Encik Hanapi Ahmad), Pengerusi JPKK Darang Buaya, yang kerap turun padang dan mendengar sendiri masalah rakyat. Kepimpinan seperti inilah yang kami perlukan,” ujarnya ketika dihubungi.

Beliau turut memuji peranan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Jerteh yang disifatkannya inklusif dan tidak memilih bulu.

“Lawatan dan bantuan PKM sampai kepada semua tanpa mengira latar politik. Pendekatan sebegini menautkan hati kami untuk bersama dalam perjuangan yang membawa manfaat kepada rakyat,” jelasnya.

Menurutnya, nilai Islam yang diterapkan dalam pengurusan masyarakat kampung dan keterbukaan pimpinan menerima pandangan turut memperkukuh keputusannya menyertai PAS.

Peralihan ini dilihat sebagai isyarat sokongan akar umbi terhadap pendekatan khidmat berasaskan nilai Islam, tadbir urus beradab dan penyatuan masyarakat, yang kini menjadi teras gerak kerja PAS di DUN Jerteh.