THD ; Bukan Hanya Acara Tetapi Platform Sampai Dakwah

77

Oleh ; Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Program Hari Hijab Terengganu (THD) bukan hanya suatu acara, tetapi ia juga satu platform penting dalam menyebarkan dakwah kepada wanita tentang kewajipan menutup aurat.

Ahli Jawatankuasa Ameerah DUN Seberang Takir, Tengku Syamimi Najihah Bt Tengku Mustafha berkata, dengan menyokong program ini, pihak kerajaan berusaha menyampaikan pesanan tentang kepentingan berhijab kepada wanita yang belum melakukannya.

“Salah satu perkara yang perlu sokong adalah kerana kita nak sampaikan dakwah kepada wanita-wanita yang masih belum berhijab untuk berhijrah.

“Dan kita mahu semua wanita menutup aurat dengan sempurna,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.

Melalui inisiatif ini, diharap semua wanita dapat menutup aurat dengan sempurna, mencipta persekitaran yang mendukung hijrah dan kesedaran akan kebaikan berhijab.

“Terengganu Hijab Day ini dijalankan adalah untuk memberi penghargaan buat wanita-wanita yang berhijab ini.

“Selain itu, nak memberi pemahaman buat wanita-wanita ini kenapa wanita muslim diwajibkan berhijab,” ujar beliau.

Justeru, beliau berharap agar semua rakyat negeri Terengganu menyokong program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri, bertujuan menyempurnakan perkara yang telah ditetapkan oleh syariat Islam.

“Zaman sekarang pun kita masih kena pertahankan hak berhijab kerana masih ada yang kena paksa untuk buka hijab dan ada juga yang relakan diri untuk buka hijab kerana sukar untuk kekal istiqomah,” tambah beliau lagi.