Tetapkan Garis Panduan Pusat Pemindahan Banjir ‘Mesra Ibadah’

1913

DUNGUN – PAS menggesa kerajaan agar meletakkan garis panduan yang wajib diikuti bagi pengendali pusat-pusat pemindahan mangsa banjir, supaya lebih mesra wanita dan mesra ibadah.

Pengerusi Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Besi Haji Ghazali Sulaiman berkata, walaupun digambarkan ada usaha diambil pihak berkuasa sebelum ini, namun ia masih tidak dilaksanakan, terutama di kawasan pedalaman.

“prasarana (pusat pemindahan bajir) kurang mesra wanita…..kurang mesra ibadah……patut diubah sikit,

“saya dah beritahu kepada Penghulu Mukim, minta tolong sampaikan kepada pihak yang berkuasa, yang berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas melawat pusat pemindahan banjir di Kampung Shukur dan Pasir Raja pada Selasa, 2 Januari, 2018.

Menurutnya, ia bersesuaian untuk disampaikan kepada pihak berkuasa terutamanya kerajaan pusat kerana beliau dimaklumkan, seorang Menteri akan hadir menziarahi kampung dilanda musibah itu.

Sehubungan itu, Haji Ghazali menasihatkan masyarakat kampung terbabit agar jangan lupa dari ‘mengingati Allah’ dan melaksanakan ibadah walau dalam keadaan sukar sekalipun.

“Allah menguji kita dengan ujian dilanda banjir……memang susah dan payah, tapi kita jangan lupa, ia merupakan peringatan kepada kita supaya tidak lupa kepadaNya,

“laksanakan ibadah, tunaikan solat, walaupun dalam keadaan kita ditimpa musibah, dan sentiasa berdoa,” jelasnya.

Hujan lebat yang turun ‘ambang’ tahun baharu 2018 di kawasan Hulu telah menyebabkan air sungai Dungun melimpah, melebihi paras bahaya.

Kedua-dua kampung, Shukur dan Kampung Pasir Raja yang terletak kira-kira 130 kilometer daripada Kuala Terengganu dibanjiri air saban tahun.

Walaupun kedua-dua lokaliti itu merupakan ‘kubu kuat’ Umno dan Barisan Nasional (BN), namun tidak ada usaha yang serius diambil pemerintah untuk mengelakkan kejadian banjir terus berlaku.

“belum nampak tindakan yang berkesan oleh kerajaan bagi menyelesaikan masalah banjir yang sudah berterusan puluhan tahun di sini,” tambah beliau.