Teruskan Munajat, Elak Provokasi Melampau

16

KUALA TERENGGANU – Semua rakyat diminta untuk terus bertenang dan menanti keputusan dalam kemelut pemilihan Perdana Menteri ke-10.

Yang DiPertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, rakyat Malaysia perlu memberi ruang kepada proses yang sedang berlaku sehingga pembentukan kerajaan terlaksana dengan hormat.

“Seperti mana yang dipesan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang agar semua pihak menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong nenguruskan secara bijaksana.

“Semua pihak tidak kira mewakili parti mana perlu elakkan sebarang provokasi sehingga mampu menaikkan suhu politik semasa tanah air,” katanya ketik dihubungi.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan agar semua ahli PAS terus bermunajat agar keputusan kelak adalah yang terbaik buat Ummah.

“Kita semua sedang menanti respon melalui Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu hari ini dalam mendorong keputusan oleh Baginda.

“Teruskan berdoa agar proses pembentukan kerajaan yang kita tawarkan diberi peluang ke arah membina negara yang bersih daripada rasuah serta pentadbiran yang stabil,” tambahnya.

Kemelut pemilihan Perdana Menteri ke-10 berlanjutan selama lima hari apabila tiada gabungan parti mampu mencapai majoriti mudah dalam membentuk kerajaan.

Pagi ini, Yang di-Pertuan Agong mengadakan perbincangan khas bersama Raja-Raja Melayu bagi mendapatkan pandangan bagi membolehkan Seri Paduka Baginda membuat keputusan bagi mengelakkan parlimen tergantung lebih lama.

PAS kekal menawarkan satu barisan kerajaan yang prihatin, bersih daripada rasuah dan stabil melalui tokoh-tokoh politik dalam Perikatan Nasional (PN).