Oleh : Ida Hidayah
Konvensyen PAS Kawasan Marang yang julung kali diadakan pada Sabtu lepas, 20 Disember 2014 telah berjaya mengumpulkan lebih 600 orang petugas PAS kawasan tersebut yang melibatkan kesemua peringkat.
Konvensyen yang diadakan di Dewan Tok Guru, Rusila itu juga dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, merangkap Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia.
Menurut YDP Kawasan Marang, Haji Yahaya Ali di dalam ucapannya menegaskan komitmen PAS Kawasan untuk mengukuhkan penguasaan politik di dalam Parlimen Marang khususnya mempertahankan kemenangan kerusi Parlimen dan 3 Dun yang dimenangi di dalam PRU ke -13 lepas.
Pada masa yang sama, dun Pengkalan Berangan tidak akan dilupakan.
Demi menuju matlamat ini, semua pihak haruslah meningkatkan kesedaran bekerja dengan penuh amanah serta menterjemahkan tema “Terus Beristiqamah ” melalui gerakerja parti dalam semua aspek, seperti tarbiyyah, kebajikan dan pengukuhan organisasi.
“PAS tetap istiqomah dengan dasar Islam melalui tahaluf siyasi. Islam adalah rahmat sekalian alam. Dan kita terus perjuangkan Islam ini demi menuju kemenangan dan redha Allah”, ujar Tuan Guru Presiden di dalam ucapan perasmiannya.


Selain itu, Tuan Guru Presiden juga mengingatkan bahawa walau di mana sahaja orang PAS berada, mestilah memberi bantuan kepada orang Islam dan bantulah PAS serta Islam tidak mengira tempat dan masa.
Para perwakilan dari setiap dewan juga menyampaikan ucapan masing-masing dan melahirkan hasrat serta strategi yang akan dicapai bagi membantu kelancaran gerakerja parti.
Yang pasti, PAS tetap dan istiqomah dengan dasar perjuangannya iaitu Islam.
Majlis juga diserikan dengan kehadiran dua orang AJK PAS Pusat iaitu YB Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dan Ustazah Nuridah Salleh di dalam sesi Forum.
Turut terlibat adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu iaitu YB Ustaz Satiful Bahri Mamat, merangkap Adun Paka.
Deklarasi Resolusi oleh para hadirin pada akhir majlis juga telah diadakan selari dengan kehendak dan mengambil kira suara setiap peringkat parti.
Perkasakan tarbiyyah dan jentera, teruskan komitmen perjuangan, mantapkan strategi dan kepimpinan untuk menuju kemenangan PRU ke-14 kelak.
PAS kawasan akan terus bergerak berganding bahu dibantu semua ahli dan petugas demi memastikan harapan jemaah dan rakyat dapat dilaksanakan sebaiknya.




























