Terima Kasih Kepada Pengundi PAS

35

KUALA TERENGGANU – PAS mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi PAS yang telah meletakkan kepercayaan kepada parti ini untuk memerintah negeri dan negara Malaysia.

Presiden PAS, YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang berkata, tahniah diucapkan kepada seluruh rakyat yang telah menjalankan tanggungjawab dalam memilih kepimpinan.

“Terima kasih kepada pengundi luar diperantauan yang mengharungi perjalanan jauh walaupun terdapat kekangan masa dan kewangan serta pelbagai masalah lain bagi memastikan kerajaan Perikatan Nasional mendapat mandat pada PRU kali ini.

“Pengorbanan anda di dalam berpusu-pusu untuk balik mengundi akan diberikan ganjaran yang
setimpal daripada Allah SWT.

“Terima kasih kepada seluruh jentera pilihanraya kali ini yang terdiri daripada pelbagai agensi di dalam negara dan sukarelawan-sukarelawan,” jelasnya.

Beliau yang juga menang Ahli Parlimen kawasan Marang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 berkata demikian dalam laman sosialnya pada semalam

Katanya, kemenangan ini adalah hasil kerjasama semua kalangan ahli-ahli PAS dan rakan-rakan di dalam Perikatan Nasional yang berkerja keras semenjak daripada awal lagi.

“Saya mewakili seluruh kepimpinan parti merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberi kepercayaan kepada PAS dan Perikatan Nasional untuk mentadbir negara sekali lagi.

“Kami akan berusaha sedaya mungkin melaksanakan tawaran-tawaran yang telah dijanjikan dan meneruskan agenda wawasan induk negarasejahtera 2051 (WINS2051).

“Semoga Allah mengurniakan ganjaran yang selayaknya kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan PRU-15,” ujarnya lagi.