Kerajaan Negeri Terengganu dengan sukacitanya mengumumkan penganjuran Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 4 April 2026. Program berskala besar ini akan bertempat di Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.
Penganjuran kali ini merupakan manifestasi komitmen Kerajaan Negeri dalam memposisikan Terengganu sebagai hab wacana pemikiran Islam dan penyatuan ummah di peringkat nusantara dan global.
Ijtima’ ini dijangka menghimpunkan para ulama, cendekiawan, tokoh pimpinan masyarakat, serta delegasi antarabangsa dari pelbagai negara untuk berkongsi gagasan demi kesejahteraan sejagat.
Pelbagai pengisian utama akan dilaksanakan termasuk syarahan perdana, forum antarabangsa, dialog kepimpinan serta Sidang Meja Bulat (RTD) yang akan membincangkan isu-isu strategik seperti penyatuan ummah, cabaran geopolitik dunia Islam, peranan generasi muda dalam dakwah kontemporari serta pengukuhan kerjasama antara negara-negara Alam Melayu.
Kerajaan Negeri menjemput seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Terengganu, untuk hadir beramai-ramai memeriahkan program ini. Mari kita buktikan bahawa Terengganu kekal menjadi titik pertemuan yang harmoni bagi agenda perpaduan.
”Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera”
YB USTAZ DR MUHAMMAD KHALIL BIN ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat
Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Penerangan dan Pemerkasaan Syariah
Kerajaan Negeri Terengganu



























