Terengganu Sasar Jadi Hab Industri NR-REE Pantai Timur Menjelang 2030

114
Haji Mohd Nurkhuzaini bin Ab. Rahman,

KUALA TERENGGANU — Kerajaan PAS Terengganu menyasarkan untuk muncul sebagai hab utama industri elemen nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Pantai Timur menjelang tahun 2030.

Yang DiPertua PAS Besut, YB Haji Mohd Nurkhuzaini bin Ab. Rahman berkata ia akan dilaksanakan melalui pembangunan industri secara berfasa oleh MBI Modal Sdn. Bhd. (MBIM), anak syarikat kerajaan negeri yang dilantik sebagai pelaksana eksklusif dan pemegang konsesi projek NR-REE.

Katanya, perancangan jangka sederhana memberi tumpuan kepada kajian awal di kawasan berpotensi mengandungi batuan granit bagi mengenal pasti lokasi alternatif yang sesuai untuk eksplorasi mineral tersebut, khususnya di luar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).

“Bagi tempoh jangka panjang pula, kerajaan negeri akan menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi memperkukuh rantaian penuh industri NR-REE merangkumi sektor huluan (upstream), pertengahan (midstream) dan hiliran (downstream).

“MBIM kini sedang menunggu kelulusan lesen memfosik bagi beberapa kawasan yang dikenal pasti oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan sedang memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) bersama Lynas Malaysia Sdn. Bhd. bagi kerjasama dalam sektor pertengahan,” katanya.

Ir. Saiful Azmi bin Suhaili

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Industri dan Ekonomi Digital Negeri itu, berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Kemasik Ir. Saiful Azmi bin Suhaili pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Ketiga (Sidang Bajet) Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Ke-15, semalam.

Dalam masa yang sama, sesi libat urus diadakan bersama MITI, NRES, MIDA, PTG dan JMG bagi menetapkan prosedur pelesenan, pematuhan piawaian teknikal dan memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri serta persekutuan.

Tambah beliau, setiap aktiviti eksplorasi NR-REE akan mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) bagi memastikan operasi industri tidak menjejaskan ekosistem, biodiversiti dan kesejahteraan komuniti setempat.

Antara inisiatif sokongan lain termasuk pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC), penubuhan kemudahan R&D dalam teknologi mineral, serta galakan kepada pelabur untuk membangunkan kemudahan pemprosesan di negeri ini.

“Usaha bersepadu ini dijangka mewujudkan industri bernilai tinggi, membuka peluang pekerjaan berkemahiran serta mempelbagaikan sumber hasil negeri. Ia akan menjadikan Terengganu peneraju utama industri NR-REE di Pantai Timur menjelang 2030,” jelasnya.