KUALA LUMPUR: Perpaduan dan keharmonian rakyat harus diutamakan malah sebarang unsur yang menimbulkan sensitiviti dalam kalangan rakyat mesti ditangani dengan pantas oleh pihak berwajib termasuk pimpinan masyarakat dan wakil rakyat terpilih.
Berhubung rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman pada awal pagi Isnin, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru semua pihak bertenang dan memahami isu sebenar di sebalik insiden yang tidak diingini itu.
Ujarnya dalam kenyataan bertarikh 27 November, beliau menyarankan semua pihak yang terlibat wajar duduk semeja bagi meredakan keadaan.


“Pihak pemaju perlu menjaga sensitiviti kaum dan agama. Sebarang unsur yang boleh menimbulkan sensitiviti di kalangan rakyat perlu ditangani dengan pantas oleh pihak berwajib, pemimpin masyarakat dan wakil rakyat yang telah dipilih.
“PAS berkeyakinan bahawa pihak PDRM, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Selangor mampu menangani isu ini dengan baik mengikut lunas undang-undang, demi mengembalikan ketenteraman awam di lokasi terbabit dan juga di seluruh negara amnya,” katanya.



























