Taman Ilmu; Abaikan Janji Manis MB Terengganu (Bahagian 1)

3871

Oleh Suhaimi Taib

Terengganu Darul Iman disifatkan sebagai sebuah kerajaan yang menzahirkan cara pemerintahan bercelaru dan kerajaan itu gagal ditadbir urus dengan cekap dan efisyen di bawah Barisan Nasional (BN).

Pembangunan yang dilaksanakan lebih kepada untuk mengeluarkan wang kerajaan dan peluang kepada syarikat kroni UMNO memperolehi projek semata-mata bukan untuk kepentingan rakyat dan menambah hasil pendapatan kerajaan.

Projek pembangunan pendidikan seperti Taman Ilmu di Mukim Tembila Besut (TIT) terbengkalai begitu lama dan hampir 50 peratus iaitu RM198.88 juta dari RM401.48 juta telah dibelanjakan pada Julai tahun 2009 untuk projek tersebut.

Menteri Besar negeri itu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman ketika memberi jawapan terbaharu mengenai projek itu mendakwa Taman Ilmu itu akan siap sepenuhnya dan akan digunapakai, Oktober tahun ini.

 

Kenyataan itu dipertikaikan kerana sebelum itu menteri besar berkenaan telah membuat pelbagai kenyataan tidak benar mengenai tarikh siap projek tersebut.

Seperti yang direkodkan pada 21 Februari 2011, Dato’ Seri Ahmad Razif yang ketika menjadi Exco Pelajaran berkata TIT akan beroperasi pada Mei 2011.

Kemudian pada 13 Disember 2012, ketika sesi penggulungan sidang DUN, beliau berkata, TIT akan beroperasi pertengahan 2013 dengan keuntungan RM10 juta setahun.

Sementara itu, pada Mei 2015, sekali lagi dijanjikan projek TIT dijangka siap pada akhir 2015. Kini beliau berjanji manis lagi dengan mendakwa TIT akan beroperasi pada Oktober 2017 nanti.

Persoalannya, kenapa menteri besar itu tidak bercakap benar dalam menjelaskan kedudukan sebenar projek berkenaan. Apa yang ingin disembunyikan dari pengetahuan umum sedangkan didapati terbengkalai begitu lama sejak mula dilaksanakan pada tahun 2007 ketika Dato’ Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar.

Apa punca sebenar menyebabkan projek itu terbengkalai, tidak diberi penjelasan secara terperinci dipercayai untuk menutup kelemahan kerajaan negeri itu mentadbir urus pembangunan projek berkenaan.

Mengikut jawapan bertulis yang diberikan kerajaan Terengganu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada April 2014 yang lalu, TIT mempunyai sembilan pakej termasuk, Infrastruktur pada sebut harga RM58.80 juta, Masjid – parcel A (RM46.84 juta), Perpustakaan – Parcel B (RM49.92 juta), Kompleks Sukan dan Rekreasi – Parcel C (RM30.60 juta), Student Centre – Parcel D (RM27.88 juta), Pusat Konvokesyen – Parcel F (RM31.79 juta), Pusat Pentadbiran – Parcel H (RM23.81 juta), Kediaman Pelajar – Parcel H6 (RM36.99 juta) dan Watter Supply (RM9.57 Juta).

Menurut jawapan kerajaan itu, perlaksanaan projek pada masa itu berjaya dilaksanakan bermula dari 50 hingga 91 peratus dengan perbelanjaan sebenar berjumlah, RM150.36 Juta.

Ini termasuk projek Water Supply berjaya dilaksanakan sebanyak 50 peratus dengan perbelanjaan sebanyak RM2.89 Juta, Pusat Pentadbiran -Parcel H, sebanyak 65 peratus bernilai RM9.23 juta, Kediaman Pelajar – Parcel H6 sebanyak 67 peratus berharga RM18.41 Juta.

Masjid – Parcel A dilaksanakan sebanyak 71 peratus bernilai RM14.51 Juta, Pusat Konvokesyen – Parcel F sebanyak 72 peratus berharga RM9.38 juta, Infrastruktur sebanyak 73 peratus bernilai RM39.14 Juta, Student Center- Parcel D sebanyak 78 peratus berharga RM13.38 Juta.

Manakala Kompleks Sukan dan Rekreasi – Parcel C sebanyak 83 peratus berharga RM13.24 juta dan Perpustakaan – Parcel B, sebanyak 91 peratus bernilai RM39.16 juta.