Takziah Buat Ahli Keluarga ‘Cikgu Esah’

190

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah buat ahli keluarga Almarhumah Cikgu Esah Binti Muda, guru di PASTI Al Furqan, Chendering.

Menurut Ketuanya Ustaz Mohd Harun Esa, arwah telah kembali ke rahmatullah pada Rabu, di Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu akibat serangan jantung.

Oleh itu, beliau berdoa agar roh Almarhumah dirahmati Allah, atas pengorbanan luar biasa arwah untuk jemaah demi Islam, mendidik anak bangsa.

“saya dengar sendiri cerita pahit manis dari suami beliau, yang berkhidmat dengan PASTI selama hampir 40 tahun.

“Dugaan, cabaran dan pelbagai rintangan yang terpaksa dilalui. Imbuhan kurang lebih RM50 seawal berkhidmat untuk PASTI,

“itu pun kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada.” ujarnya selepas menziarahi rumah arwah pada Khamis, 30 Jun.

Turut sama dalam kunjungan itu ialah Pengarah PASTI Terengganu, Cikgu Syamri Razak.

Dalam pada itu, seluruh saf Ahli Lembaga Pengarah PASTI Malaysia turut merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Almarhumah Cikgu Esah.

Ketua Pengarah PASTI Malaysia Damanhuri Dol, menyifatkan, pemergian Almarhumah merupakan satu kehilangan besar buat keluarga besar PASTI.

“arwah ialah seorang guru yang komited dalam tugasan, menyumbang khidmat dalam pendidikan anak-anak menjadi inspirasi kepada warga PASTI.” ujar beliau dalam satu kenyataan pada Khamis, 30 Jun.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Muslimat Batu Buruk, merupakan penerima Anugerah Siti Fatimah PASTI Terengganu pada tahun 2020 turut dikenang sebagai ‘mentor’ oleh rakan setugasnya.