“Tak Tergamak Biar Tuan Rumah Menanggung Musibah”

151

DUNGUN – “Tak tergamak membiarkan tuan rumah yang merupakan mangsa banjir lumpur menanggung musibah seorang diri” , itulah luahan Naib Yang Dipertua Parti Islam Se-Malaysia(PAS) Dungun, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik.

Katanya, keadaan di kawasan tersebut yang sangat menyayat hati dengan semua musnah, kereta tersadai dipenuhi lumpur dan tidak ada yang boleh diselamatkan.

“Sedih sungguh tengok keadaan rumah mereka dengan keadaan rumah yang berselut, tebal, peralatan dapur disalut lumpur, begitu juga kelengkapan rumah dan semua sekalilah luar dan dalam rumah dipenuhi selut,” katanya sayu.

Beliau yang mengetuai rombongan sukarelawan PAS Dungun ke Misi Bantuan Banjir Baling memberitahu demikian ketika dihubungi di sini semalam.

“Peralatan rumah, pakaian, peralatan elektrik yang rosak dan sudah tidak boleh digunakan lagi, jadi kita sediakan kipas, mesin basuh, blender dan sebagainya, nilaiannya sekali dengan ‘cash’ yang diserah lebih kurang sebanyak RM25,000, ” katanya.


Menurutnya, sepanjang tiga hari dua malam berada di sana dengan tenaga 14 orang KHIDMAT Malaysia Dungun yang terdiri daripada Jabatan Amal Malaysia(JAM) Dungun dan Pemuda PAS Sura hanya dua buah rumah sahaja hanya mampu dibersihkan.

“Memandangkan tuan rumah yang kami datang bersih ini bukanlah orang senang, sumbangan sebanyak RM300 turut disampaikan, sebagai meringankan sedikit beban yang ditanggung,

Sebelum itu katanya sejurus tiba di Kompleks PAS Baling, Kupang pihaknya telah menyerahkan RM10,000 dan keperluan bayi seperti lampin pakai buang serta susu berjumlah RM3000, hasil sumbangan orang ramai di Dungun kepada YDP Baling, Ustaz Hassan Saad.

Sementara itu Pengerusi Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia(KHIDMAT Malaysia) Kawasan Dungun, Khairul Ismail memberitahu rombongan mereka bertolak dari Dungun pada jam 12. 00 tengah malam Selasa, 12 Julai lalu.


“Penduduk di sini cerita, air yang berlumpur datang dengan tiba-tiba, merekapun tidak dapat masuk ke rumah, memang sedih sungguhlah,

” Setibanya kami, kami turut menyertai majlis korban yang diadakan pada hari tersebut dimana sebanyak enam ekor lembu telah disembelih dan diagihkan kepada mangsa – mangsa banjir,” ceritanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, selepas solat zohor, mereka dibawa ke rumah pertama di Kampung Tanah Periuk, Kupang untuk dibersihkan, dengan menggunakan peralatan yang dibawa dari Dungun.

” Manakala hari kedua, seharian itu, kami dibantu JAM Baling, hanya mampu membersihkan sebuah rumah sahaja di sekitar Masjid Kampung Kupang, kerana tempat ini memang terjejas teruk,” katanya.