Tadbir Urus Sistem Kesihatan Negara Lebih Baik

738

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah lama menjalankan kajian terhadap isu-isu ini namun tidak pernah kedengaran sebelum ini. Kini, desas-desus perlaksanaan 1Care, iaitu perancangan transformasi sistem kesihatan, telah menimbulkan riak ketidakpuasan hati dikalangan rakyat jelata.

Ini bukan kerana namanya 1Care atau seumpamanya tetapi ini dilakukan seolah-olah dalam keadaan yang disembunyikan, dan hanya menimbulkan syak wasangka di kalangan masyarakat umum. Masyarakat umum di Malaysia pernah berkali-kali dikejutkan dengan perubahan yang mendadak, seperti kenaikan harga minyak 30 sen awal tahun 2006. Perkara yang sama perlu dielak daripada berulang di dalam isu ini.

Dewan Pemuda Pas yakin bahawa pelan penambahbaikan sistem kesihatan negara yang telah dan sedang dirancang oleh pakar-pakar kesihatan negara mempunyai manfaatnya yang tersendiri. Namun disebabkan sejarah pentadbiran oleh Kerajaan umno/bn yang mempunyai rekod buruk  telah menyebabkan rakyat tidak mempercayai sebarang agenda baru pihak kerajaan. Sebagai contoh perlaksanaan polisi PPSMI, SBPA dan pelbagai lagi telah menunjukkan kegagalannya.

Ianya diburukkan lagi dengan beberapa skandal yang memalukan Negara seperti NFC dan PKFZ telah menggambarkan umno/bn gagal dalam melangsaikan amanah yang telah diberi. Selain itu, pihak kerajaan juga telah turut menyumbang kepada ketidakpercayaan rakyat memandangkan perkhidmatan kesihatan yang telah diswastakan telah dimonopoli oleh syarikat seperti Pantai Medicare, Faber, Radicare, Pharmaniaga, dan lain-lain. Apakah perkara yang sama akan turut tercalit dalam konsep 1Care?

Oleh itu, polisi 1Care ini perlu mendapat suntikan Konsep Negara Kebajikan yang dipelopori oleh PAS dan Pakatan Rakyat. Elemen-elemen mengutamakan kebajikan rakyat perlu dikedepankan bukan setakat slogan tetapi telus dalam perlaksanaannya. PAS telah bersiap sedia dengan kertas perlaksanaan polisi yang telah dirancang demi menjamin penjagaan kesihatan optima seluruh rakyat Malaysia.

***Penulis adalah DR GHAZALI BIN HASBULLAH PENGERUSI LAJNAH PEKERJA DAN PROFESSIONAL MUDA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA