Sukan Pupuk Semangat Ukhuwah

1756

Oleh : Safwan Syakir

KUALA NERUS  – Bersukan bukan hanya  untuk memburu piala atau membolot hadiah semata-mata, tetapi yang lebih utama, mengeratkan semangat ukhuwah  sesama peserta.

Dr. Alias Abd. Razak, ADUN Bukit Tunggal
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Terengganu  Dr. Alias Razak berkata, selain daripada aspek fizikal, aktiviti riadah, ianya juga dapat memupuk semangat berpasukan.

“Disamping memantapkan ukhuwah antara pemuda yang berlainan cawangan, sukan juga dapat menjalinkan hubungan sosial antara masyarakat, ”  ujar beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Bukit Tunggal itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah Piala ADUN Bukit Tunggal di Padang Sintetik Tok Jiring di sini 17 November.

Hadir sama, Ketua Pemuda PAS DUN, Wan Mohammad Nasiruddin Wan Ahmad dan Ketua Lajnah Kebajikan PAS DUN, Wan Fauzi Wan Harun.

Pemain-pemain yang mewakili pasukan yang bertanding.

“InsyaAllah kita berusaha ke arah mewujudkan prasarana padang bola seumpama di sini boleh dibangunkan di kawasan Bukit Tunggal, ” tambah beliau lagi.

Katanya, pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat yang bersifat proaktif akan diberi peluang mengemukakan cadangan lokasi tersebut.

Kejohanan tahunan anjuran Penyelaras Pemuda PAS DUN tersebut menyaksikan juara keseluruhan dimenangi oleh pasukan Batu Enam yang berjaya membawa pulang Piala Pusingan, Piala Iringan, Wang tunai berjumlah RM 1,200, hamper serta pingat.

Manakala pasukan Bukit Tok Ris sebagai naib juara di kejohanan yang disertai pemain-pemain yang mematuhi syarat menutup aurat seperti yang digariskan oleh pihak penganjur.