Oleh: Khairan Mat Jusoh
TAWAU – Sukan memainkan peranan penting dalam membentuk keharmonian dan kesatuan di kalangan masyarakat pelbagai lapisan di negara ini.
Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Marang, Ustaz Sulaiman Sulong berkata, rakyat mampu berdaya saing dengan kesihatan yang baik dan hubungan yang erat sesama mereka.
“sukan dapat mewujudkan kerjasama dalam kalangan ibu bapa, guru dan pengurusan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI),” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas merasmikan Temasya Sukaneka PASTI Kawasan Tawau Kali Ke-31 di Padang A Kompleks Sukan di Tawau, Sabah, semalam, Ahad 9 September.
Menurut beliau yang juga Pengarah PASTI negeri Terengganu, terdapat tujuh acara yang dipertandingkan bagi kedua-dua kategori lelaki dan perempuan.
“Di antaranya adalah baling bola, isi air dalam botol, larian 50 meter, larian bawa bola dan lain-lain lagi.
“(dan) sukaneka tersebut berlangsung selama dua hari bermula 8 hingga 9 September,” ujar beliau.
Program berlangsung meriah dengan acara bermula dari seawal jam 7.00 pagi dan berakhir kira-kira jam 11.00 pagi yang kemudiannya disusuli dengan sesi penyampaian hadiah.











