Suburkan Amalan Demokrasi; PAS Akan Bertanding PRK Port Dickson

1868

Oleh KAM

MARANG – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengistiharkan menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson bagi menyuburkan amalan demokrasi di negara ini.

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, setelah mendengar taklimat dari semua pihak termasuk Jawatankuasa Pilihanraya (PAS Pusat).

“Mengambil kira semua pandangan itu. Kita melihat bahawa, kita bersetuju untuk bertanding. Umum calon itu malam esok (Khamis) di Port Dickson. Tokoh yang sepadan dengannya (Anwar), Insya’Allah,” ujarnya.

Beliau mengumumkan perkara itu, selepas Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat di Pejabat Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Rusila, Marang malam tadi.

Ketika ditanya pihak media, atas pertimbangan apakah PAS bersedia menyertai PRK Port Dickson, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, PAS mahu menghidupkan demokrasi.

“Kita mahu menghidupkan demokrasi dan PAS parti yang mendukung demokrasi. Rakyat diberi peluang untuk memilih. Walaupun kita tak setuju pilihan raya (PRK) dibuat tergesa-gesa.

“Tetapi, kita (PAS) tidak boleh matikan demokrasi. Kita buat kerjalah, sekurang-kurangnya melatih petugas-petugas kita.

“Melihat kepada ‘respon’ semua pihak menandakan tak mustahil boleh menang. Tidak mudah menang tapi tak mustahil (boleh menang). Kita (PAS) pernah menang PRK Teluk Pasu (Terengganu) dan tak mustahil menang,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan, gelombang rakyat yang berlaku pada tiga PRK Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia makin meningkat.

“Kita mengambil kira gelombang PRK di Sungai Kandis dan gelombang besar lagi di PRK Seri Setia (Selangor). Gelombang itu makin meningkat dan kita menyaksikan juga rungutan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH). Ini memerlukan (tempat) rakyat meluah (perasaan) melalui pilihan raya.

“Secara automatik tak ada kerjasama dengan Umno. Kita (PAS) ada pandangan kita sendiri dan Umno telah buat keputusan tak bertanding, kita tidak sependapat dengan Umno.

“Apabila kita (PAS) setuju (masuk) pilihan raya dan Umno tidak setuju menandakan tiada kerjasamalah. Terpulang kepada individu-individu Umno, kita (PAS) tak boleh hendak paksa dia,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan menegaskan, pada peringkat awalnya PAS telah memberi laluan kepada Umno dan MIC bertanding pilihan raya tersebut.

“Pada hari muktamar lalu, Presiden PAS (Ustaz Abdul Hadi) kata, ‘jika Umno tak bertanding, PAS yang akan bertanding. Keputusan itu tak bercanggah.

“Kita terima siapa sahaja yang hendak bantu PAS pada pilihan raya Port Dickson untuk berkempen.

“Kita ajak semua orang (parti) untuk berkempen bantu kita. Ini bukan sahaja Umno termasuk juga DAP, yang tidak puas hati dengan kerajaan (Pakatan Harapan) yang ada hari ini,” tegasnya.

Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mustaffar Daharum.