Solat Sumber Kekuatan J12K

1714

Oleh : Nooreni Abu Bakar

KUALA TERENGGANU – Solat menjadi sumber kekuatan ke arah melahirkan amilin seramai 12,000 orang sekaligus merealisasikan Jentera 12K(J12K) sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15(PRU15) nanti.

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh mengingatkan muslimat agar menjaga solat dan juga berusaha untuk menunaikannya dengan khusyuk.

“Diantara ciri-ciri dianugerah kemenangan oleh Allah ialah jaga solat, bersiap solat diawal waktu dan khusyuk ketika solat.

” Bukan sahaja kemenangan di akhirat tetapi ketika di dunia lagi, “jelasnya.

Nuridah berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Jejak Jentera 12K(J12K) di Markas Tarbiyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Ibai di sini pada 3 Februari.

Beliau turut menyeru agar muslimat segera bangkit bekerja untuk kemenangan Islam di PRU15.

“Tak malukah kita bila berjumpa Allah nanti, umat Islam Malaysia 65 peratus tetapi orang bukan Islam yang mendominasi pemerintahan negara walaupun Perdana Menterinya Islam.

” Mereka dahlah sikit, Masya Allah dahlah sudah lama menguasai ekonomi negara, sekarang sudah terserlah mereka cuba menguasai pemerintahan negara kita, diri kita, keluarga kita, siapa yang akan buat kerja menyelamatkan negara ini dan generasi akan datang, kalau tidak kita,” tegasnya kepada muslimat yang hadir daripada seluruh negeri Terengganu.

Justeru itu beliau mengajak muslimat melazimi solat awal waktu dan membaca Al-Quran akan terbina kekuatan untuk menghadapi musuh dalam PRU15.