Soalan Bocor; Dimanakah Amanah?

919

Oleh : Ustaz Mohd Nor Hamzah

Saya rasa terkejut mendengar berita berkenaan soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang didapati bocor dan tersebar dengan meluasnya di internet yang mengakibatkan beberapa kertas UPSR yang baru diduduki oleh pelajar-pelajar telah dibatalkan oleh kerajaan dan ditangguhkan keakhir bulan September ini. Hasilnya bukan sahaja hal ini menyusahkan pelajar, malah ibubapa, guru-guru, kakitangan kementerian tetapi juga akhirnya wang rakyat turut terbang kerana jenayah ini.

Lihatlah apabila amanah dihumban dari tempatnya, maka nyatalah kerosakan yang akan terhasil. Benarlah firman Allah dalam ar-Ruum ayat 41 yang bermaksud “ Telah nyata kerosakan di darat dan di laut, hasil dari perbuatan tangan manusia. Bagaimanakah kerosakan akan berlaku? Ianya berlaku apabila orang yang tidak sepatutnya mendapat hasil atau tempat yang baik, mereka berjaya meraihnya hasil itu dengan penipuan yang dilakukan. Dia merampas peluang yang sepatutnya dimiliki oleh orang yang benar-benar berjaya. Bayangkan dengan UPSR yang nilainya agak rendah berbanding peperiksaan lainpun mereka sanggup menipu, apatah lagi dengan peperiksaan yang lebih besar? Maka hasilnya kita akan dapati ramai yang sanggup berbuat apa sahaja asalkan mendapat apa yang mereka panggil “Kejayaan Cemerlang” dalam peperiksaan.

Apabila mereka yang menipu kemudiannya mendapat tempat dalam apa-apa agensi samada kerajaan atau swasta, maka mereka pastinya akan meneruskan lagi perangai mereka ini bagi menjamin pula pangkat dan kedudukan mereka. Dan akan tibalah saatnya amanah yang diberikan kepada mereka yang tidak layak, maka renungkanlah pesan rasulullah apabila amanah diberikan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya. Telah diberi amaran kepada kita oleh rasulullah saw bahawa antara ciri-ciri orang munafik salah satunya ialah mengkhianati amanah. Maka takutlah kita dengan amaran rasulullah saw itu.

Saya mengucapkan syabas kepada Kementerian Pelajaran atas tindakan pantas mengesan kebocoran ini dan berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang didapati bersalah melakukan perkara ini. Saya juga menggesa agar Menteri Pelajaran 1 agar membuktikan dakwaan sabotaj itu atau beliau meletakkan jawatannya. Tiada ubat yang sesuai dengan penyakit ini kecuali kita mesti kembali kepada Islam yang mengajar kita memahami erti amanah selain dari menyuruh kita mengamalkan amanah itu, samada kepada diri kita,keluarga kita, masyrakat malah yang paling utama ialah amanah kepada Negara kerana semua itu duduk letaknya di bawah payung “Amanah Dari Allah”. Bertaqwalah kepada Allah kerana dengan taqwa, kita dilindungi dari api neraka insyaAllah.

****YB Ustaz Mohd Nor Hamzah Ketua Penerangan BPPNT
17 Zulqaedah 1435 bersamaan 12 September 2014