Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) Untuk Semua Rakyat Terengganu

5044

Selepas lebih kurang seminggu Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) dilancarkan, saya kumpulkan beberapa respon dan komen rakyat. Semuanya saya analisa dan ambil perhatian.

Sebelum itu suka saya senaraikan beberapa ciri khusus SBMT.

1. Ianya tanpa faedah, patuh syariah dan tiada caj perkhidmatan. Pinjam 10,000 bayar 10,000. Tiada sebarang caj tersembunyi. Kerajaan tak berniaga dengan memberi pinjaman kepada rakyat. Kadar maksimun RM50,000.

2. Boleh dimanfaatkan untuk apa saja kerja dalam 3 sektor utama iaitu pertanian, perikanan dan penternakan.

3. Pinjaman diberi sebahagian besarnya dalam bentuk penyedian tapak, kelengkapan, barangan, peralatan, haiwan ternakan, anak benih, pagar atau kandang, enjin bot, bahan input atau apa sahaja yang dimohon untuk memulakan usaha atau membesarkan projek sedia ada. Jawatankuasa Induk SBMT yang dipengerusikan Exco Pertanian akan menimbang permohonan sebahagian pinjaman dalam bentuk tunai sekiranya diperlukan.

4. Permulaan bayaran balik yang sangat ‘flexible’ bergantung kepada jenis projek. Contohnya, untuk bela ayam daging, hasil boleh dijual selepas 40 hari. Bayaran balik boleh dibuat selepas 2 bulan. Tapi untuk penanaman nenas, hasil cuma boleh dituai selepas 13 bulan. Tak munasabah selepas 2 bulan kita dah minta bayaran balik. Hasil belum boleh dijual. Mereka akan mula dikenakan bayaran balik selepas 13 bulan pinjaman.

5. Jenis barangan, kelengkapan, input, anak benih, haiwan ternakan dan sebagainya yang nak dibekalkan mestilah dengan persetujuan peminjam. Kalau peminjam nak lembu cherolis, maka lembu cherolis yang akan dibekalkan. Kita tak akan bagi lembu kampung.

Komen rakyat:
1. Sebab apa nak bagi pinjaman dalam bentuk barangan, kelengkapan, input, anak benih, peralatan dan sebagainya. Bagi je dalam bentuk tunai. Ikut suka peminjam nak buat apa. Kalau berjaya boleh bayar. Kalau tak berjaya kerajaan perlu hapus kira hutang tersebut. Tak kan dengan rakyat sendiri pun nak berkira!

Inilah cabaran kita nak membentuk cara rakyat berfikir. Mereka kira itu duit kerajaan, bagi je kepada rakyat. Ikut suka rakyat nak buat apa pun. Sedangkan kita nak bagi pancing dan umpan supaya rakyat boleh mengail dan dapat nikmati hasil tangkapan. Tapi ramai lagi rakyat yang mengharap nak terima ikan siap masak dari kerajaan.

Ramai lagi yang fikir bahawa skim pinjaman mudah seperti SBMT adalah kaedah nak dapat pitih tunai tanpa sebarang komitmen. Tak bayar pun tak apa. Tak buat apa-apa projek pun ok je. Alaaa… duit kerajaan kan duit rakyat!

2. Bagaimana kalau usaha tersebut gagal. Lembu mati, nenas tak berbuah, itik tak bertelur dan macam-macam lagi. Apakah pinjaman tetap kena bayar?

Sebab itu sebelum pinjaman nak diluluskan, satu panel penilai akan turun padang bagi menilai potensi sesuatu projek yang dicadangkan. Apabila dinilai berdaya maju dan berpotensi, kita akan luluskan. Kalau pemohon memohon untuk nak buat kolam ikan, tapi bila panel penilai nak tengok tapak cadangan nak kolam ikan, pemohon gagal nak tunjuk tapak, tentunya kita tak akan luluskan.

Jika kita dah berusaha sebaiknya tapi berlaku bencana alam, wabak dan sebagainya yang di luar daya dan upaya kita, tentunya Jawatankuasa Induk SBMT akan menilai semua yang berlaku seadilnya. Kita adalah manusia yang ada hati dan perasaan, bukannya robot.

Yang jadi masalah, tak mula lagi dah fikir hal gagal dan tak nak bayar pinjaman!

Saya akan terus bekerja keras untuk mengubah cara berfikir rakyat kita. Yang nak maju kita akan bantu, yang masih kaku kita akan gerakkan supaya keluar dari kepompong. Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) Semua rakyat kita belaka.

Dr Azman Ibrahim
Ahli Jawatakuasa Kerja PAS Pusat
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu.