Terengganu, Malaysia
Pendapat

Sidang Pengarang Harakah Jangan ‘Syok Sendiri’……….

harakah

Ramai rakan-rakan media yang mesej bagi isyarat tak bersetuju dengan tindakan yang diambil terhadap beberapa orang pengarang akhbar Harakah. Pandangan mereka, sepatutnya ada jalan penyelesaian yang lebih baik tanpa melibatkan penyingkiran.

Sebenarnya isu teguran terhadap Harakah telah menjadi viral semenjak 3 Muktamar tahunan yang lalu. 3 kali muktamar bermakna lebih kurang 3 tahun. Perwakilan telah menyuarakan teguran dan pandangan yang saya kira sangat baik dalam konteks kekeluargaan dan akhlak berjamaah. Ringkasnya apa yang mereka mahu ialah supaya Harakah kekal sebagai lidah parti yang berwibawa. Saya yang berucap membahaskan Ucapan Dasar Presiden ketika itu di Muktamar PUTIK mewakili Negeri Terengganu turut menyentuh berkenaan Harakah.

Antaranya saya sebut satu istilah media, ‘to fight it you have to join it’. Dengan makna untuk kita bersaing dengan dunia media yang sangat hebat sekarang, kita juga perlu mempunyai media yang hebat serta boleh membawa suara parti. Muhasabah kita kepada Harakah ialah muhasabah yang penuh kasih sayang. Bukan kita marah atau benci.

Alhamdulillah… walaupun menegur, saya terus diberikan ruang untuk menulis dalam Harakah. Kita tidak membenci, jauh sekali untuk bermusuh. Staf Harakah termasuk sebahagian sidang pengarangnya adalah sahabat-sahabat. Adik saya bertugas di bahagian akaun Harakah. Hehehe… Tapi saya tak pernah ‘claim’ sebarang bayaran atas tulisan-tulisan saya yang disiarkan.

6 tahun sebenarnya masa yang cukup untuk berubah. Tapi apakah perubahan itu berlaku? Ahli dan penyokong PAS yang mengikuti perkembangan Harakah dari dekat mempunyai jawapannya. Maaf kalau saya menilai, bukan setakat perubahan ke arah yang lebih baik tidak berlaku sebaliknya nilai dan isi kandungan berita semakin merudum. Rating jualannya terus menurun.

Harakah adalah hak parti. Ia bukan akhbar sebarang akhbar. Jasa Harakah kepada PAS terlalu besar. Jatuh bangun Harakah penuh dengan suka dan duka. Kebaikannya terlalu banyak walaupun tentunya ada kekurangan dan kelemahan. Tetapi sidang pengarang Harakah tak sepatutnya terus dibuai syok sendiri tanpa mereka mengambil peduli saranan dan pandangan pelbagai pihak. Sampai masanya apabila ia sudah tdak dapat diperbaiki lagi, tentunya ada yang perlu pergi dengan terhormat. Ia amat menyedihkan. Tetapi kepentungan parti dan jemaah menjadi keutamaan dalam segala hal.

Saya memegang erat tali persahabatan dengan Zulkifli Sulong yang sekarang berada di The Malaysian Insider, Azmi Yusof, Rizal Tahir, Salmah Mat Husin, Khairul Azlam Mohamad, Mazlan Jusoh dan ramai lagi sahabat-sahabat yang telah mewarnai kandungan akhbar Harakah sejak sekian lama.

Azman Ibrahim
Kota Bharu, 10 Januari 2015.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan