Setiap Tuduhan PAS Berasas

558

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2010/01/yadaagang1.JPGTimbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Zakaria Dagang berkata, pemimpin PAS mempunyai asas kukuh setiap kali menuduh UMNO mendalangi sesuatu isu.

Beliau menegaskan, PAS bukan setahun jagung berjuang dalam politik negara dan sudah faham mengenai selok-belok politik terutama muslihat untuk menjatuhkan parti itu.

“Isu yang berlaku sebenarnya ada asas untuk kita menyatakan bahawa ia dalang daripada UMNO sebagaimana demonstrasi yang berlaku di Selangor baru-baru ini.

“Kita melihat isu terbaru melibatkan demonstrasi mendesak PAS keluar PR adalah dalang untuk menjatuhkan imej PAS, walaupun tidak mengakui orang UMNO, tetapi mereka bukanlah orang Pas, orang Pas bukan begitu,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Zakaria turut sependapat dengan pemimpin pembangkang lain bahawa PAS tidak akan melakukan cara sedemikian dan percaya wujud agenda tertentu untuk menjejaskan imej parti itu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO Terenganu, Khazan Che Mat yang menyelar sikap pembangkang kerana sentiasa menjadikan parti itu sebagai ‘kambing hitam’ sekiranya wujud permasalahan dalam parti mereka.

Menurut Khazan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sering dipersalahkan pembangkang dalam kemelut dalaman meskipun mereka tidak mempunyai bukti serta asas kukuh untuk membuat tuduhan terhadap parti tersebut.