Seruan Menyertai Himpunan Aman TURUN ANWAR

543

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap masa depan negara agar bersama-sama menyertai Himpunan Aman Turun Anwar yang akan berlangsung pada hari Sabtu, 26 Julai 2025 di ibu negara.

DUPP menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab moral dan agama setiap rakyat untuk menyuarakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim.

Himpunan ini adalah manifestasi kemarahan rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan Madani yang semakin jauh menyimpang dari aspirasi rakyat. Janji-janji manis yang ditaburkan sebelum berkuasa kini menjadi beban derita, dengan pelbagai dasar yang menghimpit kehidupan rakyat saban hari.

DUPP ingin mengingatkan bahawa perhimpunan aman adalah hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jun lalu yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berperlembagaan mengukuhkan lagi hak ini. Hak untuk berhimpun secara aman adalah sebahagian daripada prinsip kesamarataan seperti termaktub dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

DUPP berpandangan bahawa desakan agar Anwar Ibrahim berundur sebagai Perdana Menteri adalah langkah wajar demi menyelamatkan negara. Beliau telah gagal menunaikan janji, gagal memacu ekonomi, dan gagal menstabilkan pentadbiran negara. Rakyat tidak lagi boleh berdiam diri melihat negara ini terus dipandu oleh pemandu yang hilang arah.

Kerajaan Madani hari ini umpama bas yang dipandu melulu, mendedah rakyat kepada bahaya kemalangan. Negara ini tidak boleh dibiarkan terus berada di bawah pimpinan yang hanya mementingkan citra politik tetapi gagal dalam tanggungjawab sebenar terhadap rakyat.

Maka dengan ini, DUPP menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, untuk turun ke jalan secara aman dan berdisiplin pada Sabtu ini. Inilah saatnya untuk kita nyatakan pendirian, demi maruah negara dan generasi akan datang.

Sekian.

YB DATO’ USTAZ HAJI AHMAD BIN YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena.

22 Julai 2025 Miladi bersamaan 26 Muharram 1447 Hijri