Terengganu, Malaysia
Pendapat

Serangan Ke Atas Rahib : Pemuda PAS Lahir Simpati

Mohd Nasaie Ismail 2

Pemuda PAS Malaysia (PPM) melahirkan rasa sedih dan bersimpati ke atas dua orang rahib yang diserang oleh penyerang yang tidak dikenali dengan tujuan untuk menyamun pada hari Rabu yang lepas. Kedua-dua rahib tersebut dikenali sebagai sister Julianna Lim dan Sister Mary-Rose di depan pintu masuk Gereja Visitation di Seremban.

PPM menyifatkan kejadian itu sebagai perlakuan jenayah kejam dan mereka yang melakukannya sebagai tidak berperikemanusiaan kerana melakukan jenayah terhadap dua warga emas serta mencederakan mereka. Salah seorang birawati terbabit, sister Julianna Lim, mengalami kecederaan teruk di otak yang tidak dapat dipulihkan.

Masyarakat Malaysia tidak boleh menerima kejadian seperti ini berlaku di tanah air. Insiden memukul, mencederakan dan menyamun warga emas apatah lagi golongan rahib adalah sesuatu yang amat bercanggah dengan ajaran mana-mana agama. Keganasan dan jenayah seperti ini bukan budaya masyarakat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian. Adalah diharapkan kejadian bukan bermotif dendam, sentimen kebencian perkauman serta keagamaan.

Kejadian ini mengingatkan semua pihak supaya aspek keselamatan perlu dipertingkatkan setiap masa. Kawasan gereja tersebut perlu dipantau supaya supaya setiap petugas dan tenaganya mendapat perlindungan sebaiknya. Siasatan menyeluruh juga perlu dilakukan dengan mencari punca kejadian berlaku dan suspek yang melakukannya. PPM mengharapkan agar kedua-dua mereka segera sembuh dan pulih dari kecederaan. PPM juga berharap agar penjenayah terbabit segera diberkas dan dihukum dengan hukuman yang setimpal.

***Kenyataan Media Pemuda PAS Malaysia dikeluarkan oleh MOHD NASAIE ISMAIL {Gambar], Setiausaha Pemuda PAS Malaysia

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan