Oleh : MNA
KUALA TERENGGANU – Kira-kira sembilan tan abu Al-Quran dalam bentuk kiub telah berjaya dilupuskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) semenjak 2016 yang berpurata berat 10 kg setiap unit.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Ustaz Mohd Nor Hamzah, jumlah itu termasuk yang terbaharu sebanyak 3.8 tan, yang dibawa berhampiran dengan Pulau Kapas, Marang.
“Sebenarnya pelupusan bahan-bahan Al-Quran ini kita lakukan mengikut ‘Standard Operating Procedures’ (SOP) bermula dari pengumpulan, pembakaran, pembentukan kiub sehinggalah pelupusan ke laut.
“Alhamdulillah kita telah menunaikan tanggungjawab terakhir iaitulah pelupusan ke laut,
“Keseluruhannya ialah kira-kira 10 ribu naskah Al-Quran yang kita tukarkan kepada bentuk kiub dan ia bukan kerja yang mudah,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menyempurnakan pelupusan itu semalam, pada Selasa 31 Julai.


Sehubungan itu, menurut Ketua Penolong Pesuruhjaya JHEAT Bahagian Penyelidikan, Haji Mohd Noor Mohamad, perkhidmatan itu diberikan secara percuma.
Katanya, ia bermula sejak tahun 2012 lagi dan secara keseluruhannya JHEAT telah mengumpul dan melupuskan sebanyak 103 tan bahan dan teks Al-Quran dari seluruh Terengganu.
Beliau berkata, sebelum kaedah tersebut digunakan, masyarakat mengumpul dan membakar secara tidak terkawal dan tidak menepati syariat.
“Kita ambil insiatif, kita kumpul, kita bakar dan pada peringkat awal dahulu, kita terpaksa merincih sebelum membakarnya, tetapi memakan masa yang panjang.
“Jadi kita reka relau yang ada ini, tiada kerja-kerja rincih itu dan walaupun naskah itu basah, kita tetap boleh bakar.


“Yang dari Kelantan, kita terima 50 ribu kg naskah, ketika banjir besar dahulu, dalam keadaan basah kuyup sekalipun, kitab oleh bakar,” terang beliau lagi.
Tambah beliau , dari semasa ke semasa, baki bahan teks Al-Quran dan juga yang telah siap dijadikan kiub akan dilupuskan yang dianggarkan sebanyak 4.2 tan.
Katanya, kesemua bahan teks yang diterima itu samada daripada Al-Quran atau kitab agama yang buruk dan juga bahan yang tersalah cetak.
Ditanya berkenaan cadangan untuk membuka perkhidmatan pelupusan ini kepada negeri lain, Mohd Noor berkata, perkara itu boleh dibincangkan dan mungkin sedikit bayaran akan dikenakan.
Justeru kata beliau, orang ramai yang ingin melupuskan bahan teks Al-Quran di sekitar Kuala Terengganu, bolehlah menghantarnya ke pusat pengumpulan di Masjid Abidin dan bagi yang berada luar Kuala Terengganu, boleh bertanya pegawai Pejabat Agama Daerah masing-masing.





























