Selepas Dua Tahun Muafakat Nasional

158

Merimbun ukhuwah bukan nyalakan api dendam

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Dua tahun yang lalu ,bangunan PWTC menjadi saksi sejarah penyatuan dua buah parti terbesar orang Melayu negara ini, sebuah parti bernuansakan kebangsaan Melayu dan sebuah lagi bernuansakan Islam . 14 September yang syahdu dan memahat sejarah , memadam api kesumat ,menyulut seribu keinsafan bagi orang Melayu setelah regim PH mewajahkan rupanya yang sebenar. Sehari dua ini Muafakat Nasional kembali menggelegak suhu apabila Timbalan Presiden UMNO memberikan PAS pilihan samada untuk bersama MN atau PN, bersambut pantas oleh MB negeri Pahang dan pemimpin UMNO yang lain.

Medan persaingan politik wajahnya hodoh dan memualkan! Tak mudah mengajak kelompok mutadaiyyin untuk bergelumang dengan medan siasah walaupun Kita menegaskan dengan segala sumber bahawa urusan politik adalah untuk menegakkan agama. Ada alasan rupanya rakyat terbanyak merasa muak dengan permainan kuasa dan orang politik, pandemik sedang menggila dan kejerihan hidup sedang menyelimuti tanah leluhur ini. Mandraguna kuasa tetap nombor wahid dalam tempurung kepala pemain politik tanpa peduli akan rintihan rakyat bahkan ” menunggang” istilah demi akar umbi parti.

Mengapa cepat kita lupa diri dan terpanar dengan kemenangan demi kemenangan dalam PRK?, lupakah tragedi hilang kuasa pada 9 Mei 2018?. Setahun lebih yang lalu, musuh politik PAS dan UMNO seperti sawan dan terpanar, tak sepi mereka menilai dengan mata lalat dan menghujam dengan penuh nafsu apabila Muafakat Nasional ditubuhkan. Avatar siber seperti RBA meratib siang dan malam agar kesepakatan dua buah parti umat Islam ini gagal untuk bertaut, namun pendokong PAS dan UMNO telah bertekad untuk berdamai dan saling memaafkan.

Sebelum tertubuhnya MN pada 14 September 2019, jika kita sedar, kebanyakan komen-komen adalah daripada daripada pemimpin PH ialah bagaimana PAS menjadi singkat ingatan terhadap kezaliman UMNO terhadap PAS selama ini, tragedi Memali, royalti minyak terhadap kerajaan PAS, pengucilan terhadap kerajaan Kelantan, dan lain-lain. Usaha menimbulkan keraguan kepada pemuafakatan ummah juga membandingkan dua orientasi berbeda bagi dua parti yang selama hampir tujuh dekad bertarung di pentas demokrasi. MN juga cuba dikocakkan dengan kewujudan PERIKATAN NASIONAL apabila PAS terus diasak untuk memilih antara dua koalisi,bahkan setahun yang lalu ,Pengerusi Umno Terengganu memercik api permusuhan dalam suasana ummat yang telah melupakan sengketa. Bagi UMNO Terengganu tiada urusan UMNO Terengganu dalam pemuafakatan politik MN. Dengan sifir yang mudah,rakyat Terengganu tidak perlu bimbang dengan Dap yang tak berkuku di negeri ini.

Jika dua tahun dahulu, yang paling takut ialah pemimpin DAP yang cuba mengambarkan pemuafakatan ini akan menyebarkan rasa permusuhan antara kaum dan menyuburkan polarisasi kaum. Ketakutan DAP dengan pantas disambung oleh parti PAN, perkakas politik mereka yang paling setia. Lihatlah kegelabahan mereka seolah langit akan menghempap negara ini dan terbakar menjadi padang jarak padang tekukur. Naratif yang dibawa oleh pemimpin PH bahawa PAS akan kembali disakiti apabila BN kembali berkuasa di peringkat nasional sebagaimana PAS ditendang pada tahun 1977. Jangan membenarkan naratif ini wahai pemain politik pragmatis kerana mahalnya harga sebuah perpaduan umat.

Pendokong dan penyokong parti dalam PN mahu pun MN wajib memahami bahawa dalam politik, semua pertimbangan risiko perlu diambil kira dan memahami latar sejarah, unjuran strategik namun jika sejarah silam ssesebuah parti politik diambil kira, maka tidak akan berlaku apa-apa pemuafakatan, pakatan strategik atau kerjasama berdasarkan realiti semasa. Jika pertandingan banyak penjuru berlangsung dalam PRU 15 maka jangan ditangisi lagi jika kelompok minoriti kaum akan menentukan halatuju negara ini sebagaimana pernah berlaku selama 22 bulan . Buang jauh-jauh sikap ingin menjadi dominan dan abang Long apabila berpakat dan berkoalisi. Cubalah bersiap tawadhuk dan merendah diri, nilai diri akan melonjak tinggi.

Pemuafakatan Melayu Islam dalam tempoh dua tahun ini, bukan sahaja dapat meneguhkan kuasa politik Islam Melayu negara ini, namun menjalin hubungan dengan kaum-kaum lain bagi memastikan negara ini di landasan yang betul. Rakyat yang gelisah dan marah dengan reputasi pemerintahan PH dalam tempoh 22 bulan , bercakaran sesama sendiri, penjualan aset negara, hubungan kaum yang mula tidak harmoni kerana sikap etnosentrism sebahagian pemimpin PH terutama daripada DAP, penggangguran semakin menjolok mata, polisi-polisi pra matang para Menteri, kontrak sosial yang mula didobrak pasca 9 Mei 2018.

PAS yang ditarjih oleh Majlis Syura Ulama melihat tanah watan ini perlu diselamatkan sebelum dihancurkan oleh politikus jalanan yang mendapat kuasa dalam PRU 14. Pemuafakatan politik ini juga diterima dalam ruang demokrasi, sehingga menyaksikan kemenangan demi kemenangan dalam siri-siri Pilihanraya Kecil . Kesepakatan ini juga telah menumbangkan kerajaan PH yang hanya sempat dipuncak kuasa selama 22 bulan. Pakatan Harapan tumbang di Johor, Kedah, Perak dan Melaka serta bergegar pentadbiran negeri Sabah.

Rakyat tidak bodoh dan pandai menilai, jujurlah dalam bersahabat . Jangan kerana ingin melepaskan tengkok daripada masalah maka kesepakatan ummah dirobek . Parti berbasis Bumiputera seperti cendawan tumbuh, yang terkini Parti Bahtera Sejahtera oleh kader IKRAM . Ironinya parti bukan bumi hanya satu suara disepakati,maka hujung jatuhnya kita semua tahu implikasinya pada tanah leluhur ini.
Koalisi dan pemuafakatan politik Melayu Islam ini wajib diperteguhkan , bukan dicari jalan untuk dipecahkan demi ambisi kuasa . Politik adalah urusan agama ,bukannya wahana mengisi tembolok dan takah menaiki harkat sosial semata- mata.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)