Oleh : MNA
Begitulah tema yang dimasyhurkan bagi Muktamar PAS Pusat ke- 63 yang telah dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut pada 29 April 2017 bersamaan 2 Syaaban 1438.
Antara intipati ucapan dasar Presiden PAS secara ringkasnya boleh dinyatakan seperti catatan di bawah.
Pada permulaan ucapan beliau, penekanan kepada kegagalan kerajaan mengambil penyelesaian secara menyeluruh kepada permasalahan rakyat sehingga menerbitkan cukai-cukai baharu seperti GST, yang kesannya panjang dan menyusahkan rakyat bawahan.
Masalah sosial seperti kenaikan kadar jenayah saban tahun turut disentuh, sehinggkan masalah sosial tidak lagi dianggap sebagai senarai yang mengancam masyarakat, sedangkan semua itu menurut Islam adalah pemusnah masyarakat.
Menjadikan asas tauhid, beriman kepada hari akhirat, taqwa dan adil kepada semua, Islam berjaya memimpin dunia sehingga dua petiga dunia yang mana tidak didapati dalam pemerintahan kerajaan zaman ini.
Ketaqwaan pula menjadikan kebanggaan, semangat kepada bangsa dihapuskan sama sekali dan berlaku adil kepada manusia termasuk musuh, kerana apa yang Allah inginkan dari makhluknya ialah ketaqwaan iaitu takut kepada Allah.
Kepada pemerintah yang menerima Islam, mereka dikekalkan dengan jawatan mereka, kerana bukan tugas Islam hanya untuk menukar pemimpin, tetapi dasar, asas dan konsep Islam itulah yang penting untuk diubah bagi sesebuah negara.
PAS tidak mahu memikirkan berkenaan jawatan kerana PAS mengikut sunnah rasulullah iaitu Allah yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah kepimpinan itu.
Ada kalangan Islam yang hanya sekadar menjadi buah bidak catur tetapi masih belum menyedari akan keadaan mereka yang digunakan oleh pihak-pihak berkepentingan.
BPMS yang dipelopori PAS, diyakini dapat meredakan ketegangan diantara rakyat yang sebelum ini diselubungi dengan politik kepartian melampau yang merugikan semua pihak.
Hasil daripada kebaikan yang ditunjukkan Islam iaitu tidak menjajah negara,serta tidak menindas rakyat, maka Islam tidak dipandang buruk diatas dasar akhlak ini.
Hubungan dengan bukan Islam, pegawai kerajaan dan semua pihak, perlu diperteguhkan lagi bagi mengajak mereka bersama-sama PAS mengubah kerajaan sediada dengan cara harmoni dan menentang sikap chauvinis.
PAS secara konsisiten menentang segala bentuk penyelewengan wang rakyat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dengan cara PAS.
Masalah kekejaman terhadap umat Islam di serata dunia perlu dihentikan segera dengan usaha yang proaktif bagi memastikan kekejaman ini tidak lagi berlaku di depan mata.
PAS bagi tujuan itu telah menubuhkan pusat-pusat bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat di serata dunia sebagai solidariti kepada seluruh dunia Islam yang terlibat.