‘Saya masih MB Terengganu’-Dr Samsuri

316

Oleh : KAM

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu hari ini masih lagi kekal diterajui oleh Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, meskipun terdapat laporan berita portal yang tidak bertanggungjawab menabur fitnah hingga mengelirukan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak melakukan fitnah yang tidak benar itu agar ingatkan api neraka di hari akhirat kelak.

Menurutnya, beliau masih lagi Menteri Besar Terengganu sekaligus menafikan isu pertukaran dan terserah kepada pihak polis melakukan siasatannya.

“Saya bangun pagi ini, saya rasa…saya MB lagi hari ini. Walaupun ada gambar 10 orang (untuk) jadi Menteri Besar (Terengganu), setiap jam bertukar (gambar).

“Saya rasa tak timbul lagi (isu), yang lain-lain itu biar polis jalankan siasatan.

“Saya pun hairan (isu), ini orang tak ingat ‘api neraka’. Dia buat fitnah-fitnah ini. Saya nak seru kepada orang awam, ingat sikit (sebab) buat fitnah itu apa neraka ada dan… kita (manusia) ini hidup-hidup lama, mati juga akhirnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media ketika melawat keluarga mangsa kebakaran rumah pasangan warga emas di Kampung Losong Haji Su, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir bersama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed.

Selasa lalu, Setiausaha Politiknya, Muhyiddin Abdul Rashid telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu, terhadap portal berita ‘malaysiadateline.com’ bertajuk “MB TERENGGANU TERGUGAT, BORANG AKUJANJI BERKANUN KINI TERSEBAR” bertarikh 8 Jun 2021.

Menurut Muhyiddin, kandungan laporan berita yang disiarkan itu bersifat fitnah, tidak benar serta berniat jahat terhadap kredibiliti Menteri Besar Terengganu tersebut.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim juga membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, kerana laporan sebuah portal tempatan lain yang mengaitkan namanya sebagai orang ‘tengah’ dalam isu MB Terengganu dengan pihak Istana.

Menurut Dato’ Amzad, Dr Ahmad Samsuri telah menjalankan tugas sebagai Menteri Besar dengan baik dan tiada sebarang masalah berlaku setakat ini.

Kata beliau, Istana merupakan satu institusi yang dijunjung tinggi rakyat dan elemen orang tengah membabitkannya sebagai Ahli Parlimen di peringkat Persekutuan tidak wajar berlaku.

“Kesemua keterangan telah diambil, selebihnya saya menyerahkan kepada pihak polis untuk melaksanakan tindakan selanjutnya.

“Siasatan akan dibuat mengikut undang-undang yang ada iaitu di bawah Akta Kanun Keseksaan kerana menyebarkan berita palsu,” tegasnya.