“Saya Dan PAS Tak Bayar Kepada Clare” – Presiden PAS

2101

KUALA TERENGGANU – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menafikan beliau dan PAS membayar RM1.4 juta kepada pemilik Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

“Saya tak bayar, PAS tak bayar dan dakwaan itu tidak betul” jawabnya ringkas ketika ditanya pemberita berhubung dengan isu berkenaan selepas selesai menyampaikan tazkirah kepada kakitangan kerajaan negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Katanya, PAS akan memberi penjelasan kepada masyarakat apa yang sebenarnya berlaku mengenai fitnah yang ditaburkan oleh pihak-pihak tertentu berhubung dengan isu berkenaan.

Katanya, perlu disedari bahawa PAS adalah parti yang miskin dan ramai yang menjadi penyumbang kewangan kepada parti itu bukan sahaja orang Melayu tetapi termasuk juga orang bukan Islam.

“Ada yang memberi sumbangan kepada PAS datang kepada saya khususnya semasa pilihan raya,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS membiayai beribu-ribu Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI), menggaji guru-gurunya dengan menggunakan wang sumbangan orang ramai.

Katanya, bila tiba pilihan raya ada orang memberi pinjam wang pendahuluan untuk calon pilihan raya kerana calon-calon PAS tidak banyak hilang wang berkenaan dalam pilihan raya.

“Jadi ada orang beri pinjam dengan jumlah yang mencukupi untuk kita bertanding (dalam pilihan raya), cuma kita pelik, parti lain dapat duit dari mana.

“Kena tanya parti lain (berhubung dengan duit berkenaan) jangan tanya PAS (sahaja) dan yang menarik PAS menjadi minat semua parti lain sekarang ini,” jelasnya lagi.

Sementara itu berhubung dengan saman Sarawak Report beliau berkata, PAS menarik balik saman terhadap portal tersebut kerana ada agenda politik di sebalik tuduhan penerimaan wang RM90 juta dari Umno.

“Sebab itulah kita (PAS) menarik balik kes mahakamah itu kerana ia agenda politik bukan agenda perniagaan.

“Bahkan kita didatangi oleh pihak tertentu supaya tarik balik kes ini sebelum pilihan raya (PRU14) lagi,” ujarnya.

Antara lain katanya PAS menarik balik saman itu kerana berjaya mempertahankan negeri Kelantan, memerintah semula negeri Terengganu dan menang besar di Kedah dan Pahang termasuk mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang agak banyak di seluruh negara.

“Kita (PAS) berjaya dari segi politik, dengan sebab itu apabila kita telah berjaya maka kita tarik kes ini (selesai di luar mahkamah),” jelasnya.

Katanya, PAS tidak mahu membuang masa dan wang ringgit untuk melayan segala fitnah ditaburkan untuk dibawa mahkamah.

Sebaliknya kata beliau, PAS akan mengadu kepada Allah dengan menunaikan solat hajat supaya Tuhan membalas segala fitnah yang dibuat terhadap beliau dan parti itu.

“Semoga mereka yang degil dan percaya kepada Tuhan, tidak buat lagi benda-benda yang menfitnahkan PAS ini dan kita serah kepada Allah Ta’ala (untuk urusan membalasnya),” ujarnya lagi.