Salur Peruntukan Wakil Rakyat Tak Perlu Syarat

101

Kerajaan tidak seharusnya menetapkan syarat dan keperluan untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pihaknya akur sekiranya rundingan MoU yang sebelum ini ditolak pembangkang tidak diteruskan.

“Ahli Parlimen PN sudah menyerahkan kepada ketua pembangkang dan ketua Whip (PN) untuk bincang. Kalau kerajaan kata sudah tutup, kita akur.

“Prinsip kami, kerajaan perlu menyalurkan peruntukan tanpa syarat dan tidak memerlukan MoU,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata, PN secara dasarnya akan menyokong jika kerajaan mahu membawa Rang Undang-Undang (RUU) di Parlimen khususnya berkaitan peruntukan kepada wakil rakyat.

“Peranan pembangkang untuk semak dan imbang sudah kami jalankan. Ada pindaan dan RUU kami sokong kerana kebaikan untuk negara dan rakyat juga,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, semalam menyifatkan pintu rundingan MoU berhubung peruntukan bagi Ahli Parlimen pembangkang sudah ditutup.

Katanya, pembangkang menolak ‘pinangan’ dan kerajaan tidak akan ‘merujuk’.

Pembangkang sebelum ini sebulat suara menolak MoU atas empat sebab utama iaitu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, yang mana beberapa syarat dikenakan dalam dokumen didakwa boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Berdasarkan dokumen didedahkan itu, enam inti patinya termasuk tempoh kuat kuasa dari tarikh MoU dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen ke-15 atau pada 19 Disember 2027.

Turut terkandung dalam inti pati itu ialah obligasi PN yang menyentuh peranan dan fungsi Ahli Parlimen pembangkang sebagai komponen penting dan aku janji sebagai wakil rakyat berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina.