Rundingan damai tamat

664

http://buletinonline.net/images/stories/berita33/lu_02.1.jpg–  isu petempatan di Tebing Barat belum selesai

BAITULMAKDIS: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, mengakhiri rundingan tiga hari dengan para pemimpin Israel dan Palestin semalam tanpa sebarang isyarat tercapai kemajuan dalam memecahkan kebuntuan berhubung pembinaan petempatan di Tebing Barat.

Pemimpin Palestin mengulangi ancaman akan meninggalkan rundingan itu jika pembinaan petempatan itu diteruskan apabila satu tempoh penangguhannya berakhir pada akhir bulan ini.

Israel pula mengulangi pendiriannya bahawa ia tidak akan melanjutkan tempoh pembekuan pembinaan petempatan itu walaupun bagi satu tempoh terhad.

Sementara itu, utusan khas Amerika ke Timur Tengah, George Mitchell, bertemu Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, di Damsyik, dan berkata fokus Washington terhadap perjanjian damai Israeli-Palestin tidak memesongkan perhatiannya daripada mengusahakan satu perjanjian yang sama di antara Israel dengan Syria.

(Gambar – Seorang lelaki Palestin bekerja di tapak pembinaan penempatan haram Yahudi di Beitar Illit, pinggir Baitulmaqdis di Tebing Barat. Israel meluluskan rancangan untuk membina 1,600 lagi unit rumah baru di penempatan haram di wilayah Palestin di Tebing Barat.-AFP)

Dalam satu wawancara dengan stesen televisyen Channel 10, Clinton berkata ia ‘akan lebih memudahkan’ jika Israel bersetuju melanjutkan tempoh pembekuan sementara pembinaan petempatan selama 10 bulan.

Bagaimanapun, para pegawai yang rapat dengan rundingan itu berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, malah menolak satu saranan bagi melanjutkan tempoh penangguhan itu selama tiga bulan lagi.

Dalam satu mesyuarat Liga Arab di Kahirah, Menteri Luar Palestin, Riyad al-Malki, mengulangi ancaman Palestin akan meninggalkan rundingan itu ‘jika satu petempatan dibina selepas berakhirnya tempoh pembekuan itu’.

Menggulung pusingan rundingan yang bermula di Mesir pada Selasa lalu itu, Clinton telah mengadakan rundingan dengan pemimpin Jordan, Raja Abdullah, selepas bertemu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, di bandar Ramallah, di Tebing Barat.

‘Hari ini (semalam) beliau dan saya berbincang mengenai rundingan yang sedang berjalan dan saya menyuarakan keyakinan saya bahawa Netanyahu dan  Abbas boleh membuat keputusan sukar yang diperlukan bagi menyelesaikan semua isu penting dalam masa setahun,’ kata beliau dalam satu sidang akhbar di Amman.

Isu-isu itu termasuk sempadan negara Palestin dan petempatan masa depan Baitulmakdis dan pelarian Palestin. — Reuters.