KUALA TERENGGANU – “Kita mahu memastikan setiap lepasan Maahad Darul Quran bergerak bersama-sama dan seiring dalam memajukan persatuan alumni ini,’ ujar Ustaz Mohd Soud Said.
Mohd Soud yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Lepasan Maahad Darul Quran (PLMDQ) berkata demikian ketika mengalu-alukan kehadiran para alumni ke Rumah Terbuka Aidilfitri Alumni MDQ bersama Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Rumah Terbuka tersebut akan diadakan di Dewan Tok Guru, Rusila pada Sabtu, 4 Syawal bermula 8 pagi sehingga 2 petang.
“Kita mahu alumni MDQ sentiasa istiqomah dengan gerakerja Islam, juga bagi melahirkan sokongan padu kepada Tuan Guru Presiden PAS dalam memimpin jemaah,’ ujar Mohd Soud lagi.
Selain jamuan Raya, Majlis tersebut juga turut diserikan dengan gimik perasmian dan persembahan pentas. Yang paling istimewa adalah taujihat Tuan Guru Presiden PAS merasmikan Mesyuarat Agung tersebut.
Mohd Soud amat berharap agar para alumni MDQ terus bersatu dan aktif bersama alumni dan jemaah walau di mana mereka berada sekarang.
“Alhamdulillah, para lepasan MDQ berjaya membawa haluan hidup masing-masing di luar sana. Kita mengharapkan agar mereka sentiasa istiqomah memberi bantuan dan sumbangan samada berbentuk kewangan, tenaga serta fikiran bagi membantu perkembangan MDQ sekarang ini,’ ujar Mohd Soud mengakhiri pertemuan.