Royalti; Persekutuan Wajib Tunai Janji

164

DUNGUN – Kerajaan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajib melunaskan janji, bukan sahaja perlu membayar royalti petroleum, bahkan menaikkan kadarnya kepada 20 peratus.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, menuntut pembayaran royalti sebagaimana termaktub dalam perjanjian Akta Pembangunan Petroleum adalah perjuangan menuntut hak rakyat.

Katanya, tindakan kerajaan pusat tidak membayar menurut jadual dengan jumlah yang ditetapkan telah menyebabkan banyak halangan dalam melaksanakan urusan untuk rakyat Darul Iman.

“Janji nak bagi 20 peratus tengok sekarang, tak ada apa yang berubah.

“Saya menekankan bahawa hampir keseluruhan kewangan negeri bergantung kepada royalti tersebut.

“Kebergantungan kita bukan hanya pada royalti tapi hampir 100% kewangan kita bergantung kepada royalti,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata demikian ketika dihubungi, mengulas ucapannya dalam Ceramah Perdana Pasca Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Jun lalu.

Menurutnya, berdasarkan sejarah pembentukan Akta Kemajuan Petroleum pada tahun 1974 dan perjanjian diantara kerajaan negeri dengan Petronas, sepatutnya persekutuan memastikan bahawa hasil yang diperoleh daripada petroleum disalurkan juga kepada kerajaan negeri.

Namun, hak tersebut telah dinafikan bermula tahun 2000, apabila royalti yang sepatutnya diterima oleh negeri Terengganu ditarik balik dan ditukar menjadi ‘wang ehsan’.

“Kita dinafikan hak kita sendiri. royalti yang menjadi hak milik negeri Terengganu yang sepatutnya rakyat negeri Terengganu dapat manfaat daripada hasil ini, tiba-tiba dinafikan pada tahun 2000,” jelasnya dengan nada kecewa.

Beliau menegaskan betapa pentingnya memperjuangkan hak rakyat Terengganu yang seharusnya mendapat manfaat daripada hasil petroleum negeri.

Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan tentang perjuangan umat Islam di Palestin, mengaitkan kesabaran dan ketabahan mereka dengan cabaran politik di Malaysia.

“Kita berjuang untuk menegakkan agama Islam dengan penuh keyakinan bahawa Allah SWT akan mengurniakan pahala yang berlipat kali ganda.

“Dan insya-Allah kita berharap akan dinobatkan sebagai ahli syurga,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menyentuh dan mempersoalkan janji kerajaan Madani berkenaan isu kenaikan harga minyak yang kononnya dahulu akan turunkan selepas memenangi pilihan raya lalu.

“Akibat kenaikan minyak rakyat terbeban dengan ekonomi sekarang.

“Dulu kata minyak akan turun, tapi sekarang naik semacam. Ini janji yang tidak ditepati,” katanya dengan nada kecewa.

Justeru itu, beliau menyeru kepada seluruh rakyat agar terus berdoa supaya hak royalti dikembalikan kepada kerajaan negeri Terengganu.

“Kita berdoa kepada Allah agar terus dikurniakan kekuatan untuk berjuang demi kepentingan rakyat dan agar hati pimpinan kerajaan pusat dilembutkan supaya hak royalti dikembalikan kepada kerajaan negeri Terengganu,” tambah beliau.