Rosmah hina syariat Islam?

752

http://www.buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2010/10/umnordemo.JPGKUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menyifatkan penganjuran Festival Busana Muslim atau Islamic Fashion Festival (IFF) oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghina syariat Islam.

Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah mendakwa Rosmah Mansor dianggap menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW dalam penganjuran festival tersebut di Monte Carlo, pada 9 Ogos lalu.

“Kita (PAS) menyifatkan tindakan Rosmah selaku penaung dan penganjur majlis festival busana muslim itu suatu yang keterlaluan.

“Kita (Pemuda PAS) mengambil sikap menentang dengan sekeras-kerasnya kerana ianya (festival) didapati menghina syariat Islam dan Nabi Muhamad SAW.

“Apabila salah satu fesyen mereka (model) tertulis nama Nabi Muhamad dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan aurat.

“Kita dapat lihat dengan jelas dan terang perkataan ‘Muhamad’ dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai didada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan hampir 2000 orang yang menyertai tunjuk perasaan secara aman selepas solat Jumaat di hadapan Masjid Pengadang Baru, dekat sini, 22 Oktober lalu.

Ustaz Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung melahirkan rasa kesal, marah dan dukacita imej yang diperagakan oleh model program tersebut.

Katanya, pakaian yang diperagakan itu bukan pakaian Islam tetapi pakaian wanita ‘jalang’ dan ‘jahiliah’.

“Sungguh memalukan, kita (PAS) rasa kesal, rasa marah dan rasa dukacita dengan kejadian itu yang jelas menunjukkan Rosmah jahil; dan berniat jahat terhadap Islam.

“Kami (Pemuda PAS) mendesak Rosmah selaku penaung Festival Busana Muslim segera bertaubat, segeralah minta maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di atas tindakan yang melampau itu,” tegasnya.

Justeru itu, beliau menyeru agar seluruh pencinta Islam agar mengutuk perbuatan biadap tersebut serta bangkit bersama-sama mempertahankan kesucian Islam dari terus dinodai.

Hadir sama pada perhimpunan aman tersebut Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani dan Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Wan Zuki Wan Ismail.

Pada masa yang sama satu lagi Perhimpunan Aman tersbut berjaya dilaksanakan di perkarangan Masjid as-Salam Batu Rakit, Setiu yang disertai lebih dari 500 orang penduduknya.