RM78 Juta Pelaburan Herba; Lebih Baik Tanam Kelapa Sawit

2222

DUNGUN – Jumlah peruntukan sebanyak RM78 juta yang di laburkan oleh ECER kepada projek penanaman herba mengambil tempoh yang panjang untuk memperolehi hasilnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, YB Cikgu Haji Alias Harun berkata, bagi menyelesaikan masalah ekonomi dan pasaran dunia yang tidak menentu, lebih baik wang sebanyak itu diusahakan dalam perladangan kelapa sawit.

“Kenapa tidak RM78 juta ini dilaburkan kepada pertanian yang sekarang ini rata-rata kita tahu bahawa kalau kita labur dalam pertanian ini kita akan mendapat pulangan yang baik,

“Tanah seluas 1000 ekar memang sesuai untuk penanaman kelapa sawit. Tanahnya berbukit-bukit dan mempunyai lorong serta mempunyai tanah rendah dan tinggi,

“Memang ‘undulating land’ (tanah beralun) ini memang sesuai untuk penanaman kelapa sawit,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang projek Pembangunan Bersepadu Herba Pasir Raja, yang belum memberikan sebaang hasil kepada kerajaan negeri Terengganu, walaupun telah diusahakan sejak tahun 2014.

Justeru itu, beliau menyifatkan kerajaan negeri dibawah Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak ada hala tuju untuk menambah pendapatan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi, semua hasil daripada syarikat terbabit yang mengusahakan tanaman herba dibayar kepada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) seperti sewaan premis dan lain-lain.

“Walaupun nak pelbagaikan dari segi peluang tetapi nampaknya selama tempoh tiga tahun kita dapati tanaman herba ini tidak memberi hasil pulangan yang sepatutnya diperolehi oleh kerajaan negeri Terengganu,

“Projek ini sepatutnya tidak diterokai malah ianya sepatut menambah lagi pelaburan mereka dalam industri yang sudah sedia ada,

“Jangan kita habis tanah kita beri kepada suatu institusi atau syarikat tetapi kerajaan negeri tidak ada apa-apa pulangan,” ujarnya.

Menurutnya, beliau difahamkan tanah seluas 1000 ekar diserahkan kepada ECER dan kemudiannya ia dipajakkan kepada syarikat yang mengusaha lading herba itu.

Oleh itu beliau berkata, duit dan aset rakyat sepatutnya diusahakan supaya lebih cepat mendapat hasil dan kembali dapat membantu orang ramai.

“saya lebih suka duit rakyat ini dilaburkan kepada industri yang sudah maju dari segi impak kepada rakyat dan tenaga kerja serta peluang pendapatan semuanya balik kepada rakyat,

“Tanah 1000 ekar yang ‘diinfakkan’ dimanfaatkan dengan memberi kepada rakyat atau masyarakat setempat yang sudah tentu ia akan memberi keselesaan,

“Terutama sekali kepada generasi muda yang sekarang ini terhimpit tidak ada tempat tinggal yang sepatutnya,” tambah beliau.