Ribuan Penyokong Iringi Presiden PAS

244

MARANG – Presiden PAS sekali lagi diberi kepercayaan untuk menjadi calon, mewakili PAS dalam PRU-15 di Marang bagi kali kelapan.

Ribuan penyokong PAS mengirinya beliau bersama pimpinan PAS Kawasan yang diketuai oleh Menteri Besar Terengganu yang juga Adun Rhu Rendang Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diapit oleh Speaker Dun Terengganu, Dato’ Yahaya Ali.

Dato’ Dr Samsuri sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Marang merangkap Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu hadir bersama Bendahari PAS Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, yang juga Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri sekaligus Adun Bukit Payong.

Turut sama dalam perarakan, Exco Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ustaz Ariffin Deraman iaitu Adun Alor Limbat, bersama Adun Pengkalan Berangan Ustaz Sulaiman Sulong dan Pengerusi Tetap Muktamar PAS Pusat, Cikgu Hussin Ismail.

Semua berhimpun seawal 7 pagi di Masjid Kijing, Marang yang terletak kira-kira 800m dari pusat penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Marang.

Dimulai dengan solat hajat, doa munajat berjemaah, semua penyokong berjalan mengiringi Presiden PAS sehingga ke pusat penamaan calon, disertai zikir dan selawat sepanjang perjalanan dan waktu menunggu.

Semua borang calon diterima SPR, dengan didahului oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Jasmira Othman dari BN, Azhar Ab Shukur mewakili Amanah dan Zarawi Sulong, menjadi pertaruhan Pejuang

Kesediaan Presiden untuk turun sekali lagi ke medan dilihat sebagai semangat beliau yang tidak pernah luntur demi Islam.

Beliau dilihat sebagai tonggak bagi perpaduan Melayu Islam, tidak pernah putus asa untuk membawa agenda itu walau diserang segenap penjuru.