Dalam laporan berita Utusan Malaysia bertarikh 13 Jan 2011, Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Mahani Zainal Abidin berkata bahawa Program 100 Hari Pakatan Rakyat akan hanya menghancurkan ekonomi negara kerana tidak menyumbang sebarang kebaikan terhadap pertumbuhan ekonomi.
Kritikan beliau berasaskan tiga perkara, iaitu:
1. Program tersebut semata-mata bersifat agihan dan tiada usaha untuk mencambah ekonomi;
2. Subsidi dberikan secara besar-besaran sehingga mengalami hutang yang besar seperti Greek dan Itali; serta
3. Menyerahkan pengurusan ekonomi kepada kerajaan dan menolak sektor swasta.
Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) telah membuat perbandingan terperinci dengan mendalami Buku Jingga Pakatan Rakyat untuk meneliti kritikan-kritikan tersebut. Secara kesimpulannya, KPRU berpendapat bahawa ketiga-tiga hujah yang menjadi asas kritikan ISIS adalah songsang dan tidak berasas.
Program 100 Hari Pakatan Rakyat bersifat agihan
Berdasarkan Buku Jingga yang bertajuk Agenda Pakatan: Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia, Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan, dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan dalam Dasar Bersama. (Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia, 2011, m.s 17)
Program 100 Hari Pakatan Rakyat hanya merupakan permulaan kepada reformasi tersebut yang berasaskan Dasar Bersama. Dasar-dasar pertumbuhan ekonomi yang lebih luas disebut dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang menyentuh ekonomi berprestasi tinggi, berkemahiran tinggi, ekonomi telus, desentralisasi dan pengupayaan pengurusan ekonomi negeri, tenaga kerja dan lain-lain.
Maka Program 100 Hari Pakatan Rakyat merupakan program konkrit yang bakal (atau mula) dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas Pakatan Rakyat mendapat mandat rakyat, dan sebab itu adalah kurang adil jika program 100 hari didakwa bersifat agihan dan tidak mengutamakan perkembangan ekonomi. Sebagai sebuah badan pemikiran bersejarah, ISIS seharusnya memahami bahawa dasar pertumbuhan memerlukan pembaharuan dan transformasi berbentuk struktur yang berjangka panjang, malah program 100 hari adalah sekadar permulaan kepada agenda reformasi ekonomi politik Pakatan Rakyat.
Malaysia akan muflis jika melaksanakan Program Pakatan Rakyat
Kedua, ISIS juga menuduh bahawa dalam Program 100 Hari Pakatan Rakyat, subsidi dberikan secara besar-besaran sehingga Malaysia mengalami hutang yang besar seperti Greek dan Itali. Untuk membuat perbandingan, nisbah hutang isi rumah dan hutang kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Greek, Itali dan Malaysia telah diberikan seperti yang berikut:
Negara
|
Nisbah hutang isi
rumah kepada KDNK
|
Nisbah hutang kerajaan
kepada KDNK
|
Defisit
|
Malaysia(1,2)
|
76%
|
53.7%
|
7.4%
|
Greek(3)
|
61%
|
126.8%
|
15.4%
|
Itali(4,5)
|
47%
|
116%
|
5.3%
|
Semasa menjawab kenyataan Perdana Menteri Najib Razak bahawa Program 100 Hari Pakatan Rakyat tidak dapat dilaksanakan, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata bahawa jumlah dana yang diperlukan untuk melaksanakan Program 100 Hari Pakatan Rakyat hanyalah RM19.2 bilion. (Kenyataan Akhbar Anwar Ibrahim, “Pakatan Hanya Perlukan RM19 bilion untuk Rakyat“, 11 Jan 2011) RM19.2 bilion ini adalah setara dengan 3.68% daripada KDNK tahun 2009.
Definasi bankrupsi bagi sesebuah kerajaan adalah apabila hutang kerajaan tersebut telah melepasi KDNK (nisbah melebihi 100%) dan tidak mampu menjelaskan hutang bon. Greek berada dalam risiko bankrupsi apabila pemegang bon bimbang bahawa kerajaannya tidak dapat menjelaskan hutang bon bernilai AS$23 bilion yang matang pada April dan Mei 2010. Situasi Malaysia jauh berbeza berbanding dengan situasi Greek. Hutang kerajaan Malaysia berada pada paras 53.7%, manakala hutang Greek dan Itali mencecah 126.8% dan 116% masing-masing. Penambahan RM19.2 bilion ataupun 3.68% daripada KDNK tersebut tidak akan mengakibatkan Malaysia muflis.
Lagipun, punca utama krisis hutang Greek adalah disebabkan korupsi dan rasuah, yang mana juga diperakui oleh Perdana Menterinya George Papandreou. Dalam Indeks Persepsi Rasuah, kedudukan Greek adalah pada tangga ke-78, lebih teruk daripada Malaysia yang menduduki tangga ke-56. Maka kita boleh menyatakan bahawa, walaupun tadbir urus dan pengurusan kewangan kerajaan Malaysia adalah semakin teruk, tetapi adalah kurang bertanggungjawab jika kita membuat kesimpulan secara tergesa-gesa bahawa Malaysia akan muflis jika melaksanakan pakej 100-hari tersebut yang hanya akan membelanjakan RM19.2 bilion. Lebih-lebih lagi, seperti apa yang dikatakan oleh Ahli Parlimen UMNO Johor Bahru Shahrir Abdul Samad, kerajaan BN masih gagal menjelaskan ketirisan dan kebocoran berjumlah RM28 bilion yang berlaku dalam perbelanjaan kerajaan. Jika RM28 bilion ketirisan ini dapat dijimatkan, kerajaan masih dapat menikmati lebihan sebanyak RM8.8 bilion selepas pelaksanaan Program 100 Hari Pakatan Rakyat.
Menyerahkan pengurusan ekonomi kepada kerajaan dan menolak sektor swasta
Menyentuh kritikan ISIS terakhir bahawa Dasar Pakatan Rakyat menyerahkan pengurusan ekonomi kepada kerajaan dan menolak sektor swasta, KPRU berpendapat bahawa sebenarnya Dasar Bersama Pakatan Rakyat amat mengutamakan daya saing negara, malah juga bertekad merancakkan pelaburan tempatan dan menjana permintaan domestik yang kukuh serta menggamit pelaburan asing langsung yang berterusan agar menjadikan ekonomi Malaysia berdaya maju. (Dasar Bersama Pakatan Rakyat, 2009, m.s 9)
Apa yang ditolak dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat adalah penswastaan yang membebankan rakyat, struktur subsidi yang menguntungkan kroni dan korporat besar, sistem tender yang tidak adil, telus dan terbuka, serta sistem cukai yang regresif. Maka Pakatan Rakyat bukan menyerahkan segala pengurusan ekonomi kepada kerajaan tetapi sekadar mengembalikan peranan kerajaan yang sebenar (reinstate the role of the government) sementara merombak semula sistem sedia ada yang mengekang pertumbuhan sektor swasta.
Kesimpulannya, KPRU berpendapat bahawa ISIS harus mengkaji Dasar Bersama dan juga Program 100 Hari Pakatan Rakyat secara menyeluruh terlebih dahulu sebelum membawa hujah dan membentangkan kenyataannya. Adalah amat tidak bertanggungjawab bagi sebuah badan pemikiran yang berwibawa membuat dakwaan secara suka hati dan tidak berasaskan fakta dan analisa konteks program tersebut.
1.http://biz.thestar.com.my/
2.http://www.themalaysianinsider.com/
3.http://www.investmentandbusinessnews.co.uk/
4.http://www.bloomberg.com/
5.http://www.google.com/
*Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) merupakan sebuah pusat kajian yang bebas dan kritikal. KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada rakyat Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.
KPRU memberikan fokus kepada kajian terhadap bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat. Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang.
KPRU merupakan institusi pertama yang melibatkan diri dalam kajian parlimen dan menyokong reformasi parlimen. KPRU mengutamakan isu belanjawan tahunan negara, rancangan jangka panjang, demokrasi parlimen dan lain-lain. Untuk mencapai matlamat tersebut, KPRU bekerjasama secara rapat dengan agensi kerajaan, parti politik, pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan khidmat nasihat strategik, program pengunjungan spesifik dan menghasilkan dasar yang berasaskan fakta. – Merdeka Review