Renungan Dari Bumi Suci (III)

1158

Oleh : Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali

Bumi Mina Mencatat Sejarah Titik Mula Perkembangan Dakwah Nabi Ke Yathrib

Para jamaah Haji bermula malam ini bermalam selama 3 malam di Mina. Ia sebahagian wajib Haji. Mereka dikehendaki bermalam melebihi tempoh separuh malam sekitar 5 jam setengah. Diikuti dengan melontar 7 biji batu di setiap 3 jamrah keesokkannya selepas zohor.

2. Mina mempunyai sejarah menarik perkembangan dakwah Islam di zaman Nabi saw yang wajar dihayati oleh jamaah Haji yang sedang bermalam. Ia menjadi titik tolak untuk Islam berkembang di Yathrib, seterusnya Hijrah baginda yang membawa kepada pembentukan negara Islam Madinah.

3. Sejarahnya bermula selepas baginda kembali semula ke Mekah dari berdakwah di bumi Taif. Baginda saw mula menumpukan dakwah kepada jamaah haji yang bermalam di Mina bermula tahun ke 11 baginda menjadi Nabi. Baginda mengambil kesempatan kehadiran orang-orang Arab yang saban tahun mengerjakan haji berdasarkan agama Nabi Ibrahim.

4. Baginda masuk ke khemah-khemah mereka dan meminta izin untuk berbicara tentang Islam diiringi oleh Abu Bakar dan Ali. Akhirnya Allah membuka hati 6 orang pemuda Khazraj dari Yathrib untuk beriman dengan baginda saw. Ia menjadi titik mula perkembangan Islam di bumi Yathrib. Mereka kembali ke Yathrib dan mengambil tanggungjawab dakwah di Yahtrib. Kesannya ramai orang Yathrib terbuka hati menerima Islam.

masjid-baiah-aqobah5. Selanjutnya pada musim haji seterusnya (tahun ke 12 baginda menjadi Nabi) mereka hadir seramai 12 orang bertemu dengan baginda saw ketika bermalam di kawasan Mina juga. 10 orang daripada suku Khazraj termasuk 5 orang daripada 6 orang yang Islam pada tahun sebelumnya dan 2 daripada suku Aus.

6. Di saat itulah tercatat sejarah Baiah pertama dilakukan oleh baginda saw dengan mereka seramai 12 orang yang dikenali sebagai Baiah Aqabah kerana di menterai di kawasan Jamrah Aqabah.

7. Isi kandungan Baiah sebagaimana diriwayatkan oleh sahabat Nabi Ubadah bin Somit radiyallahu anhu bahawa Nabi saw bersabda dalam Hadis Sahih riwayat Bukhari:

” بَايِعُونِي عَلَى أَنْ لا تُشْرِكُوا بِاللَّهِ شَيْئًا ، وَلا تَسْرِقُوا ، وَلا تَزْنُوا ، وَلا تَقْتُلُوا أَوْلادَكُمْ ، وَلا تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَفْتَرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ ، وَلا تَعْصُونِي فِي مَعْرُوفٍ
“Hendaklah kamu berbaiah denganku untuk tidak mensyirikkan sesuatu dengan Allah, jangan mencuri, jangan berzina, jangan membunuh anak-anak kamu, jangan mendatangkan berita palsu yang kamu reka di kalangan kamu dan jangan menderhakaiku dalam perkara ma’ruf.”

Baginda menegaskan lagi kebaikan menepati Baiah dan akibat melanggar Baiah;

فَمَنْ وَفَّى مِنْكُمْ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَعُوقِبَ فِي الدُّنْيَا ، فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا ثَمَّ سَتَرَهُ اللَّهُ فَهُوَ إِلَى اللَّهِ إِنْ شَاءَ عَفَا عنه ، وَإِنْ شَاءَ عَاقَبَهُ ” .

“Maka sesiapa yang menunaikan Baiah di kalangan kamu maka ganjarannya ditunaikan oleh Allah. Sesiapa yang melakukan sesuatu daripadanya (melanggar Baiah) lalu dia dihukum di dunia maka ia merupakan kaffarah bagi dirinya. Sesiapa yang melakukannya kemudian ditutup oleh Allah maka ia terpulanglah kepada Allah. Sekiranya Dia mahu Dia maafkan dan sekiranya Dia mahu Dia menghukumnya.”

Kata Ubadah “lalu kami berbaiah dengan baginda”

8. Baiah ini menjadi dalil keharusan bahkan sunnah berbaiah dengan pemimpin untuk melakukan perkara yang baik atau meninggalkan perkara haram.

9. Syirik, mencuri, zina, membunuh dan mereka-reka cerita bohong adalah haram dilakukan meskipun tanpa Baiah. Namun, Baiah menjadi akujanji yang mengikat diri mereka untuk tidak melakukannya. Sesiapa yang melanggar Baiah dan akujanji di samping berdosa kerana melakukan perkara-perkara haram tersebut, turut berdosa kerana melanggar Baiah. Kerana itu ia diberi amaran oleh Nabi saw kebarangkalian ia dihukum oleh Allah di dunia.

masjid Baiat10. Baiah ini digelar kemudiannya sebagai Baiah Wanita kerana isi kandungan Baiah adalah sama seperti Baiah yang dibuat oleh Nabi saw dengan para wanita pada tahun ke 8 Hijrah ketika baginda membuka Kota Mekah. Ia disebut oleh Allah dalam surah Mumtahanah ayat 12.

11. Selepas Baiah ini mereka kembali semula ke Yathrib dengan iringan seorang Sahabat Mekah bernama Mus’ab bin Umair. Kerja dakwah diteruskan di Yathrib.

12. Kesannya, setahun kemudian (tahun ke 13 baginda menjadi Nabi) 70 orang lebih daripada Yathrib turun pada musim haji dan bertemu dengan baginda saw ketika bermalam di Mina.

13. Ketika inilah dimenterai satu lagi Baiah bersama Nabi saw, juga di kawasan Aqabah. Ia dikenali sebagai Baiah Aqabah II.

14. Ubadah bin Somit radiyallahu anhu yang hadir ketika Baiah pertama meriwayatkan bahawa;

بَايَعْنَا رَسُولَ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ ، فِي الْيُسْرِ وَالْعُسْرِ ، وَالْمَنْشَطِ وَالْمَكْرَهِ ، وَ أَلَّا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ ، وَأَنْ نَقُولَ أَوْ نَقُومَ بِالْحَقِّ حَيْثُمَا كُنَّا لَا نَخَافُ فِي اللَّهِ لَوْمَةَ لَائِمٍ .

“Kami berbaiah dengan Nabi saw untuk mendengar dan taat ketika senang dan sukar, ketika cergas dan keterpaksaan, untuk kami tidak mempertikai arahan bagi yang berhak dan agar kami berkata atau menegakkan kebenaran di mana sahaja kami berada dalam keadaan kami tidak takut demi agama Allah kepada celaan orang yang mencela”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

15. Baiah ini menjadi asas kepada Baiah ketaatan yang diberikan kepada pemimpin. Nabi saw selepas daripada Baiah ini mengarahkan para sahabat untuk berhijrah ke Yathrib. Tidak lama kemudian baginda sendiri berhijrah lalu memerintah bumi Yathrib sebagai seorang pemimpin bagi sebuah negara. Baiah Aqabah ke dua menjadi asas kepada Baiah ketaatan terhadap Nabi sebagai seorang pemimpin.

Kesimpulan;

Demikianlah bumi Mina menjadi saksi peristiwa bersejarah perkembangan dakwah Islam.

[Jumaat 11 Zulhijjah 1436 H / 25 September 2015.Dicatat Jam 2.20 pg waktu Makkah ketika bermalam di Mina.]