Reformasi Diimport Melawan Gelombang Hijau

46

Kira-kira beberapa tahun yang lampau, ada beberapa orang tokoh muda PAS mendedahkan mereka mendapat undangan kursus di sebuah negara jiran, dan ceramahnya diisi oleh beberapa orang tokoh politik, intelijen tentera negara besar dan negara tuan rumah, pensyarah dan lain-lain. Undangan dihadiri dari beberapa negara termasuk tokoh dari Malaysia.

Mereka dijemput memberikan syarahan dan mengadakan perbincangan bagi melakukan perubahan politik dengan menjatuhkan kerajaan yang ada melalui gerakan yang dinamakan reformasi. Beberapa langkah susulan juga turut dilakukan, termasuk melibatkan kedutaan asing yang diundang melakukan campur tangan dalam urusan negara kita.

Secara khusus, sudah pasti Islam yang diberi lambang warna hijau menjadi sasaran, kerana dianggap sebagai pencabar kepada ideologi Timur dan Barat yang sedang mengalami kemelesetan. Sehinggakan, berkecainya blok Timur yang berideologi komunis dan segala mazhabnya serta tanda merudumnya hari ini blok Barat yang berideologi liberal kapitalisme.

Perkara ini disusuli dengan kenyataan oleh beberapa orang tokoh politik antarabangsa, khususnya dari Barat yang mempertahankan teori Francis Fukuyama yang menegaskan kuasa tunggal Barat perlulah dipertahankan.

Oleh itu, Islam dianggap sebagai pencabar paling besar kepada mereka. Hal ini disebabkan sejarah yang menunjukkan kejayaan Islam memimpin masyarakat majmuk yang berkonsepkan Islam memimpin, berprinsipkan adil kepada semua kaum dan agama tanpa meminggirkan kegiatan bermasyarakat, berpolitik, berekonomi dan lain-lain.

Indonesia yang paling ramai penduduk Islamnya di Nusantara, mengikut teori domino, mahu dirampas daripada Islam oleh pihak Komunis selepas berlakunya Perang Dunia Kedua dengan mengambil kesempatan daripada kekalahan Jepun. Mereka bertindak membunuh ramai dalam kalangan para ulama’ dan raja-raja yang dianggap penaung kepada agama Islam.

Mereka berlindung di sebalik perjuangan menentang penjajah Barat. Selepas itu, mereka bersekongkol dengan kerajaan pimpinan Sukarno, diikuti dengan rampasan kuasa pada 30 September 1965. Namun, ia telah digagalkan oleh tentera Indonesia dan kumpulan Islam yang dikecewakan.

Kemudiannya, kerajaan orde baru Suharto yang dianggap lemah dalam menghadapi kebangkitan Islam perlu diambil alih melalui cara pecah belah, serta dihangatkan isu rasuah, salah laku dan sebagainya yang menjadi kelemahan kerajaan melalui gerakan yang dinamakan reformasi. Usaha mengambil alih kerajaan itu digantikan dengan kerajaan yang lebih menguntungkan Barat atau apa sahaja yang dapat menghalang kemunculan semula Islam di negara yang paling ramai penganutnya.

Seruan reformasi dilaungkan sehingga mengapi-apikan semangat protes mahukan perubahan dan pembaharuan kepada kerajaan yang bersih dan berintegriti. Akhirnya, Suharto ditumbangkan, manakala kumpulan Islam yang berjaya mengerahkan orang paling ramai berdemonstrasi dipinggirkan dengan terancang seperti pada zaman awal sejarah perjuangan kemerdekaan.

Berikutnya dilaungkan slogan Arab Spring yang menghuru-harakan beberapa negara Arab atas nama demokrasi, tetapi diikuti dengan perang saudara secara proksi atau lahirnya diktator yang lebih ganas.

Di Malaysia pula, dibawa slogan reformasi bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan cara yang sama, iaitu cara yang tidak demokratik oleh kumpulan yang dinamakan Bersih dengan tujuannya yang tidak bersih. PAS mengundurkan diri daripada kumpulan itu, setelah mengkaji sedalam-dalamnya kerana tiada faedah bertempur dengan anggota polis melalui perancangan yang jahat bermotifkan politik kotor yang diatur oleh pihak asing yang datang menjajah lagi secara baharu.

PAS mengalu-alukan kenyataan pemimpin DAP yang mendedahkan wajahnya yang sebenar terhadap Islam, apabila mereka membuat kenyataan kemarahan terhadap kejayaan PAS yang diberikan nama gelombang hijau dalam Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini. Sehinggakan, berlakunya gerakan bagi menghalang penubuhan kerajaan oleh Perikatan Nasional (PN) yang disertai oleh PAS dengan cara yang terang lagi bersuluh, walaupun melalui tangan-tangan ghaib yang tersembunyi.

Mereka mengoyakkan topeng yang melindungi wajahnya yang sebenar, supaya lebih meyakinkan kita kepada perjuangan Islam dan mengenali siapakah kawan dan lawan.

Ditelanjangkan dirinya sendiri, betapa slogan menentang rasuah, perompak, lanun dan segala salah laku hanya penuh kepura-puraan sahaja. Hal ini jelas berlaku apabila semua pihak yang dikutuk tersebut diajak untuk bergabung bersama dan diajak sesiapa sahaja, dalam kerajaan yang dibentuk bagi mencukupkan jumlahnya dengan cara begitu rupa tanpa rasa malu.

Kini, berlaku situasi yang membenarkan sabda Rasulullah SAW bahawa akan muncul dalam kalangan umat Islam pada akhir zaman:

‌إِنَّ ‌مِنْ ‌ضِئْضِئِ ‌هَذَا، ‌قَوْمًا يَقْرَءُونَ القُرْآنَ، لَا يُجَاوِزُ حَنَاجِرَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الإِسْلَامِ مُرُوقَ السَّهْمِ مِنَ الرَّمِيَّةِ، يَقْتُلُونَ أَهْلَ الإِسْلَامِ، وَيَدَعُونَ أَهْلَ الأَوْثَانِ، لَئِنْ أَدْرَكْتُهُمْ لَأَقْتُلَنَّهُمْ قَتْلَ عَادٍ.

“Sesungguhnya, di belakang golongan ini akan muncul keturunan atau kumpulan daripada kalangan (yang mengaku Islam) yang membaca al-Quran sekadar di kerongkongannya sahaja. Dalam keadaan mereka meninggalkan Islam, laksana anak panah keluar menuju sasarannya. Mereka akan menentang orang Islam dan membiarkan kaum penyembah berhala (Musyrikin) yang menjadi musuh Islam. Sekiranya aku berkesempatan (dipanjangkan umur) menemui mereka, nescaya aku menentangnya laksana menentang kaum ‘Ad (yang dilaknat Allah).” (Riwayat al-Bukhari no. 7432 dan Muslim no. 1064)

Cara terkini kumpulan tersebut ialah mewujudkan gabungan yang bersedia mencari kemenangan dengan wajah yang berubah-ubah, melalui sokongan pihak Islam yang bebal dan pihak yang nyata bermusuh terhadap Islam.

Dalam PRU-15 yang lalu, jumlah kerusi yang dimenangi di kawasan majoriti bukan Islam atau bukan Islam menjadi undi penentu yang menyokong calon-calon mereka, di sebalik perpecahan dan kejahilan umat Islam terhadap politik.

Perjuangan mereka melalui ideologi pragmatik yang disembunyikan dan berpura-pura dengan wajah yang dapat menarik kalangan yang beragama sehingga boleh ditipu atau disebabkan oleh jahil agama atau tidak beragama.

Namun, kami yakin kepada firman Allah SWT yang menggagalkan penipuan mereka pada akhirnya:

وَقَدۡ مَكَرُواْ مَكۡرَهُمۡ وَعِندَ ٱللَّهِ مَكۡرُهُمۡ وَإِن كَانَ مَكۡرُهُمۡ لِتَزُولَ مِنۡهُ ٱلۡجِبَالُ٤٦ فَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱللَّهَ مُخۡلِفَ وَعۡدِهِۦ رُسُلَهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٞ ذُو ٱنتِقَامٖ٤٧

“Dan sesungguhnya mereka telah membuat makar (perancangan tipu daya) yang besar padahal di sisi Allah jua (balasan) makar mereka itu. Dan sesungguhnya makar mereka itu (amat besar) sehingga gunung-gunung dapat lenyap kerananya. (46); Kerana itu janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan memungkiri janji-Nya kepada para rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai pembalasan. (47)” (Surah Ibrahim: 46-47)

Demikianlah janji Allah SWT yang menggagalkan segala perancangan menentang Islam yang sebenar. Selain itu, Allah SWT juga mendedahkan kumpulan yang bersekongkol dengan musuh Islam demi mencapai tujuannya sekadar kemenangan dunia sahaja.

Perkara itu dijelaskan oleh firman Allah SWT:

بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا١٣٩

“Khabarkanlah berita gembira kepada orang-orang munafiq; bahawa sesungguhnya mereka akan mendapat seksaan yang pedih. (138); (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah patut mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya semua kekuatan adalah kepunyaan Allah. (139)” (Surah al-Nisa’: 138-139)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 18 Jumadal Ula 1444 / 13 Disember 2022

[Bil: 68 / 2022]