Pegawai Kanan Hamas memberi amaran, rancangan Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben-Gvir untuk meneruskan perobohan rumah penduduk Palestin di Baitulmaqdis semasa bulan suci Ramadan akan menyebabkan malapetaka terhadap Israel.
Dalam satu kenyataan, anggota pejabat Hamas dalam buangan, Hisham Qasem berkata, “Saudara kita di Baitulmaqdis adalah pemilik sah tanah itu dan mereka tidak akan sekali-kali membenarkan Zionis memindahkan mereka dan mengambil alih rumah mereka.”
Qasem menambah,”Penentangan Palestin sedang bersiap sedia untuk konfrontasi sebagai tindak balas kepada sebarang pencerobohan yang dilakukan terhadap ibu negara kita dan rakyat kita di Baitulmaqdis.”
“Tentangan kami adalah perisai pertahanan terhadap pencerobohan dan pelanggaran Israel yang berterusan di mana-mana.” tambah beliau.
Hamas menggesa negara Arab dan Islam untuk “bertindak serius terhadap rancangan Israel merobohkan rumah Palestin di Baitulmaqdis,” yang diancam Ben-Gvir untuk dilaksanakan pada bulan Ramadan.