KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang menyifatkan Pengerusi Parti Amanah Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, sebagai pemimpin yang ketinggalan zaman.
Katanya, sekarang adalah Pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sebaliknya Raja Bahrin masih berfikiran ke belakang, terikat dengan pemikiran politik sebelum PRU ke-14.
“Saya dah sebut tadi bahawa suasana ataupun iklim politik yang sedang berlaku dalam negara sekarang ini berbeza dengan iklim politik sebelum daripada pilihan raya. Mungkin Raja Bahrin merujuk kepada suasana sebelum pilihan raya.
“Sebelum pilihan raya memang kita belum sedia untuk bergabung ataupun bekerjasama dengan Umno, kerana pada waktu itu ialah Umno dan Barisan Nasional yang khianat kepada parti PAS dan apa yang berlaku sekarang ini selepas daripada pilihan raya ialah Pakatan Harapan (PH) (pula) mengkhianat kepada negara,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Perumahan itu yang menuduh Muafakat PAS dan Umno adalah suatu pembohongan, di KOMTAQ Batu Enam, semalam.
Menurutnya, gerakan politik masa kini memerlukan kepada penggemblengan rakyat ke arah memperbetulkan dan memperbaiki keadaan serta mempertahankan kedaulatan negara dan undang-undang perlembagaan.
“Pakatan Harapan awal-awal lagi sudah menolak Islam yang diperjuangkan oleh PAS terutamanya DAP yang mengetuai PH sekarang ini.
“Dan yang menguasai serta mempengaruhi PH ialah DAP. Dialah yang menguasai,” jelasnya.
Justeru itu, beliau menegaskan, PAS tidak akan bekerjasama dengan PH selagi DAP bersama dengan mereka.


























