Putuskan Hubungan Dengan Pakatan Tiada Kesan Negatif

1449

KUALA NERUS -Kegagalan rakan pembangkang Pakatan Rakyat menilai kekuatan PAS hanya menyebabkan mereka yang ‘terpelanting’ dan tindakan mereka memutuskan hubungan dengan PAS tidak memberi sebarang kesan negatif terhadap parti Islam itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS mempunyai 7,000 cawangan di 195 kawasan di seluruh negara dan sentiasa berdiri dengan kekuatan sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana parti lain.

“Kehadiran hampir 200,000 penyokong PAS di Himpunan Fastaqim 2.0 di Tok Jembal di sini (misalnya) mencerminkan sokongan padu anggota dan kekuatan parti dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum ke 14 tidak lama lagi.

“Penganjuran Fastaqim 1.0 di Kota Bharu, Kelantan pada dua tahun lalu juga turut mencatat kehadiran penyokong yang sama dan ketika itu kita masih bersama Pakatan Rakyat. Bila (pakatan) dibatalkan, kita tak ada masalah. Kita ada kekuatan kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Ustaz Husain Awang.

Ditanya mengenai kenyataan pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) Hanipa Maidin yang menyifatkan Abdul Hadi sebagai ‘mengarut’ kerana menggesa supaya anggotanya hadir ke perhimpunan Fastaqim 2.0, beliau berkata “terpulang pada ahli PAS menilai saya, saya tidak perlu orang lain menilai saya”.

Ustaz Abdul Hadi berkata anggota PAS terdiri daripada pelbagai pihak bukan sahaja orang kampung malah terdiri dari kalangan profesional, ulamak, pensyarah dan bukan Islam.

“Adakah mereka semua ini ditipu? Adakah 200,000 yang hadir ini kena tipu semua? Terpulang kepada mereka menilai sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai hasrat DAP yang tidak pernah bertanding di Kelantan mahu berbuat demikian bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU 14 akan datang pula, Abdul Hadi berkata

“Ini negara demokrasi, boleh bertanding di mana sahaja dia nak letak calon asalkan ada kawasan parlimen… asalkan bukan Pulau Kapas, Bidong,” katanya.