SEBERANG PERAI – Kerajaan negeri Pulau Pinang langsung tidak bersedia menghadapi musibah besar, walaupun beberapa kali ‘banjir kilat’ telah melanda ‘Pulau Mutiara’ itu.
Timbalan Pengarah Khidmat Malaysia, Dr. Azman Ibrahim berkata, sehingga petang semalam, tidak ada agensi kerajaan negeri seperti Majlis Daerah dan lain-lain yang turun membantu rakyat yang menghadapi kesan musibah itu.
“Pulau Pinang juga tiada pengalaman mengurus situasi pasca banjir berbanding negeri-negeri lain seperti Kelantan, Terengganu atau Pahang,
“Setakat ini, tidak ada sebarang bantuan dari agensi kerajaan, majlis perbandaran atau apa juga yang berkaitan dengan operasi pembersihan,” jelasnya.
Menurutnya, pintu Air Sungai Jarak, Tasek Gelugor di sini pecah kerana hakisan tanah akibat dilanda bah besar dan angin kencang yang telah melanda negeri tersebut pada awal pagi Sabtu lalu.
Oleh itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, Khidmat Malaysia telah mengerahkan semua tenaga agensi-agensi terbabit agar menghantar para petugas bagi membantu mangsa banjir.
Katanya, operasi ‘pasca-banjir’ membersihkan rumah dan kawasan yang ditimpa bencana itu telah bermula hari ini.
“Antara negeri yang memberi respons segera ialah Selangor, Pahang, Perak dan Terengganu juga telah bermesyuarat untuk turut menghantar petugas mereka”, kata beliau.
Dr. Azman berkata, sebahagian besar kawasan Seberang Prai masih ditenggelami air namun keadaan cuaca yang baik mengurangkan risiko menjadi lebih buruk.
Sekiranya tiada hujan lebat dalam tempoh sehari atau dua, in shaa Allah kata beliau, semua kediaman di kawasan tersebut akan dibersihkan secara besar-besaran.