PRU15 Hujung Penggal

348

PAS Komited PRU15 Sehingga Penghujung Penggal

KUALA TERENGGANU – PAS komited untuk melihat keperluan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) sehingga penghujung penggal Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan mendesak ianya diadakan segera khususnya di musim banjir.

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata yang penting PAS tidak mahu menyusahkan rakyat bukan menjaga kepentingan parti-parti politik semata-mata.

Beliau berkata demikian di sini hari ini ketika ditanya wartawan berhubung desakan Barisan Nasional (BN) mengadakan PRU15 di musim banjir.

Sebelum itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang mengadakan lawatan di Kawasan kebakaran Kampung Cina bersama ADUN Bandar, Ustaz Ahmad Shah Mohamed dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu, Md Hilman Abd Rashid.

Seterusnya Dr Ahmad Samsuri berkata, PAS menyifatkan parti politik sebagai alat atau medium untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Yang penting bagi kita (PAS) ialah kita tidak menyusahkan rakyat bukan bagi (menjaga) kepentingan parti-parti politik semata-mata.

“Parti-parti politik ini adalah ‘tool’ (alat) atau medium untuk memberikan khidmat kepada rakyat dan yang penting ialah kita tengok rakyat selesa ataupun tidak,” jelasnya.

Katanya, rakyat tidak perlu dipaksa untuk menerima PRU15 di musim banjir kerana musim berkenaan menimbul kertidakselesaan kepada mereka.

“Kalau rakyat kurang selesa akibat banjir kenapa kita nak paksa rakyat sehingga mereka tidak selesa.

“Kita biarkan suasana ekonomi berkembang (dahulu) dan sebagainya (lebih baik dan menyenangkan rakyat), itu pandangan peribadi saya,” ujarnya lagi.

Justeru katanya, setakat ini pendirian PAS kekal dan tidak ada perubahan untuk membuat pilihan raya sehingga penghujung tempoh penggal Parlimen dan Dun.