Terengganu, Malaysia

PRU14: Pertembungan Sebenar PAS-Umno

isytihar pelajar cemerlang.1jpg

Oleh : KAM

KUALA NERUS – Pertandingan tiga, empat atau lima penjuru sekali pun pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap perjuangan PAS.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah mendakwa rakyat dan pengundi di negeri ini sedar pertembungan sebenar hanya antara parti Umno dan PAS.

Justeru, katanya pada PRU14 rakyat akan membuat pilihan sama ada mengekalkan Umno dan Barisan Nasional (BN) atau menyerahkan pemerintahan negeri kepada PAS.

“Saya menganggap bahawa pertandingan tiga penjuru, empat penjuru, lima penjuru itu tidak menjejaskan perkembangan dan perjuangan PAS dalam pilihan raya kali ini.

“Ini kerana, kita melihat bahawa kewujudan pertandingan tiga penjuru itu bukan sahaja hasil dari perpecahan PAS tetapi parti Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) juga merupakan dari perpecahan Umno.

“Kajian dibuat bahawa penyokong Pakatan Harapan (PH) dua peratus sahaja. Maka, sudah tentu rakyat hari ini sedang menumpu sama ada Umno-BN akan terus memerintah atau pun perlu diserahkan tampuk pemerintahan ini kepada kepada PAS,” jelasnya.

PRU14: Pertembungan Sebenar PAS-Umno
Gambar – Ustaz Mohd Nor menyampaikan keputusan kepada pelajar cemerlang UPSRI. Ahmad Amir Muzakkir

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengistiharan Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam (UPSRI) di Madrasah Darul Taqwa (MDT), Pekan Batu Enam, Kuala Nerus, hari ini.

Ustaz Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung menegaskan jika rakyat mahukan perubahan kerajaan mesti menyokong PAS pada PRU14 akan datang.

“Maka, tiada jalan lain untuk rakyat membuat perubahan dalam pilihan raya akan datang ini, mesti sokong PAS kerana PH hanya mendapatkan sokongan sekitar dua peratus sahaja.

“Jadi, jika rakyat mahu melihat perubahan dalam negeri (Terengganu) ini, rakyat mesti bersatu dengan memberi sokongan kepada PAS.

“Bagi saya, apa yang dikemukakan oleh pimpinan PH Terengganu itu tidak memberikan apa-apa halangan, cabaran kepada kita (PAS),” ujarnya.

Beliau memberi reaksi balas itu terhadap kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah yang membayangkan berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU14, di seluruh negeri Terengganu.

Kata Ustaz Mohd Nor, rakyat sedar bahawa yang benar-benar bertembung dalam pilihan raya di negeri ini hanya dua parti sahaja antara Umno dengan PAS.

“Insya’Allah, PAS akan mendapat sokongan rakyat dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya dengan penuh keyakinan.

Hadir sama pada majlis itu, pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Ustaz Ismail Osman.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan