PRU14; PAS Sudah Benar-benar Bersedia

2350

Oleh KAM

MARANG – PAS kini benar-benar berada dalam situasi bersiap-siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan hanya menunggu pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.

Malah, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS mempunyai dua strategi sama ada menguasai kerajaan atau mempengaruhi kerajaan pada PRU14.

Menurutnya, bagi mencapai hasrat itu PAS bersama rakan-rakan dalam Gagasan Sejahtera yang disertai oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan bertanding lebih 130 kerusi Parlimen.

“Jumlah kerusi itu secara terperinci belum lagi tetapi mungkin PAS akan bertanding lebih banyak, mungkin lebih 130 kerusi dan dijangka begitulah. Itu campurlah dari rakan-rakan NGO yang ada hubungan dengan kita (PAS) dalam Gagasan Sejahtera,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wakil media selepas menyampaikan Kulian Mingguan Pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, pada 29 Disember.

Selain itu, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, PAS juga akan perkenalkan kerajaan teknokrat yang melibatkan golongan pakar profesional jika diberi mandat memerintah negara.

Berikut adalah soal jawab Ahli Parlimen Marang itu dengan wakil media ketika menjelaskan beberapa persoalan politik semasa PAS menjelang PRU14 akan datang.

S: Bagaimana perkembangan terkini PAS menghadapi PRU14 dari calon-calonnya, jentera parti dan adakah PAS telah kehadapan?
J: Ya, sehingga kini semua negeri telah hantar senarai nama-nama calon kepada (PAS) pusat dan Majlis Syura Ulama’ (MSU) telah memproses sebahagian besar calon-calon itu. Jadi, semua calon-calon kita mesti diproses melalui Majlis Syura Ulama’ dari akhlak dia dan sebagainya. Sebahagian besarnya MSU telah lulus cuma tinggal sikit-sikit sahaja lagi.

S: Jumlah kerusi yang akan dipertandingkan?
J: Jumlah kerusi itu secara terperinci belum lagi tetapi mungkin PAS akan bertanding lebih banyak, mungkin lebih 130 kerusi dan dijangka begitulah. Itu campurlah dari rakan-rakan NGO yang ada hubungan dengan kita (PAS) dalam Gagasan Sejahtera.

S: Dato’ Seri, ada rasa ‘konfiden’ kali ini?
J: Kita (PAS) rasa akan bertambah meningkat pada (PRU14) kali ini, dan kita tak mahu perubahan yang drastik, kita mahu perubahan ikut proses yang betul, tidak menimbulkan huru-hara dan kekacauan. Tidak gopoh dan perubahan yang sistematik.

S: Dato’ Seri, atas nama Gagasan Sejahtera itu maknanya semua parti akan bertanding atas logo PAS atau macam mana?
J: Semua rakan-rakan dalam Gagasan Sejahtera yang ada PAS dan ada NGO-NGO masuk dengan kita ini, mereka ini kemugkinan ada calon-calon mereka. Jadi semuanya akan guna pakai simbul PAS, Insya’Allah.

S: Calon wanita bagaimana, Dato’ Seri?
J: Ya, calon wanita ada dan lebih banyak, Insya’Allah. Kita (PAS) juga akan cuba perkenalkan kerajaan teknokrat. Teknokrat ini ialah kerajaan yang dianggotai oleh pakar-pakar, bukan ahli-ahli politik sahaja. Orang teknokrat ini tidak semestinya dia bertanding, boleh dilantik jadi Senator. Kita akan tengok peruntukan-peruntukan Perlembagaan sama ada Persekutuan atau pun negeri. Ada negeri Menteri Besarnya tidak semesti wakil rakyat. Ini akan mencergaskan lagi PAS. Dan PAS menguasai kerajaan atau mengurus kerajaan. Sama ada PAS menguasai kerajaan atau mengurus kerajaan. Kita punya strategi, pertama menguasai kerajaan dan kedua, mempengaruhi kerajaan.

S: Bagaimana dengan jentera parti PAS?
J: Jentera kita (PAS) Alhamdulillah, bersiap sedia. Sebab, kita membuat persiapan jentera pilihan raya bila-bila masa sahaja dan tidak membuat andaian. Jika pilihan raya bulan Januari pun kita (PAS) telah siap, Februari pun kita siap. Itu atas Perdana Menteri (Dato’ Seri Najib) dan kita boleh buat andaian saja. Biasalah, dia (Najib) tetap tarikh pun dia tengok jika tak (konfiden) lagi, dia boleh tangguh sehingga rapat masa (tempoh) PRU14. Dia boleh buat hingga habis tempoh lima tahun.

S: Berapa peratus calon-calon PAS nanti di kalangan orang muda?
J: Dijangkakan sebahagian besar orang muda (calon), peratus itu saya tak boleh nak berilah. Sebab, calon muda ini pertamanya kita (PAS) perlu menyediakan pelapis-pelapis pimpinan. Pimpinan pelapis inilah ramai orang-orang mudanya. Kita (PAS) juga mengambil kira jumlah peratus pengundi kali ini ramainya orang muda. Tetapi, orang muda ‘panas’ sangat kena ada juga orang tua…(ketawa). Gabungan antara yang lama dan baharu.

S: Jadi, tidak timbullah isu PAS ini terasing dengan pakatan pembangkang yang menyebabkan PAS terpinggir?
J: Kita (PAS) ada NGO-NGO yang banyak bersama dengan kita. NGO-NGO ini pula ada yang rapat dengan kerajaan, ada yang tak rapat dengan kerajaan, jadi pelbagai NGO ada bersama kita. Insya’Allah, mungkin ada yang menjadi calon pilihan raya ini.